Berita

Kerajaan Pusat akui kurang separuh peruntukan projek tebatan banjir P. Pinang dibelanjakan

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Kerajaan membelanjakan hanya kurang separuh, atau RM1.04 bilion daripada RM2.57 bilion yang dijanjikan untuk projek rancangan tebatan banjir di Pulau Pinang, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Selepas mengambil kira skop kerja, reka bentuk, keperluan tapak dan sebagainya semasa pelaksanaan projek, jumlah sebenar yang dibelanjakan hanyalah sebanyak RM1.04 bilion dalam RMK-9 hingga RMK-11 sahaja.

“Walaupun kos projek keseluruhan yang telah diluluskan berjumlah RM2.57 bilion, ini tidak bermakna keseluruhan peruntukan tersebut telah dan perlu dibelanjakan untuk kerja-kerja pembangunan,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 30 Oktober.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bertanya mengapa hanya sekitar RM443 juta digunakan untuk projek RTB di Pulau Pinang untuk sepanjang RMK-9 hingga RMK-11.

“Apakah yang terjadi kepada baki RM2,157 juta yang dijanjikan dan bilakah ia akan dikembalikan kepada rakyat Pulau Pinang agar projek tebatan banjir yang dijanjikan boleh dilaksanakan?” soalnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Walaupun kos RM2.57 bilion diluluskan kerajaan, menurut Wan Junaidi, ia tidak bermakna keseluruhan peruntukan perlu dibelanjakan bagi kerja pembangunan.

“Kos RM2.57 bilion ini merujuk kepada siling kos awal yang dijangka perlu dibayar bagi pelaksanaan projek tersebut,” katanya. – Roketkini.com.