Berita

BERSIH2.0: Lebih 2,000 pengundi tentera dipindahkan di kem belum siap dibina

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH2.0) hari ini mendedahkan terdapat lebih 2,000 pengundi tentera dipindahkan ke dua kem yang masih belum siap dibina.

Menurut BERSIH2.0, seramai 1,234 pengundi tentera dipindahkan ke Kem Bera di Pahang, manakala 1,411 lagi dipindahkan ke Kem Hutan Melintang di Perak.

Pendedahan ini dibuat susulan daripada pendedahan DAP berhubung pendaftaran 1,079 anggota tentera dan pasangannya di Kem Segamat yang juga masih dalam pembinaan.

“Analisa menunjukkan pemindahan ini berlaku kepada kerusi-kerusi parlimen dan DUN yang dimenangi dengan majoriti kecil pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu,” ujar gabungan tersebut dalam kenyataan, hari ini.

“Khususnya, tiga kerusi parlimen tersebut diwakili oleh menteri-menteri (Lihat lampiran 1). Perkara ini jelas menunjukkan bahawa pemindahan-pemindahan tersebut bermotif politik, dan bertujuan untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya secara haram melalui undi awal/pos.”

Menurut BERSIH, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mewujudkan beberapa lokaliti baru bagi tujuan tersebut, sekaligus mengesahkan bahawa agensi itu telah melakukan semakan bagi memastikan kawasan berkenaan adalah sah.

“SPR telah gagal membuat semakan terhadap permohonan-permohonan pemindahan ini seperti mana yang diperuntukkan dalam Peraturan 13 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002,” ujarnya.

BERSIH turut menyifatkan tingkah laku dan kegagalan SPR dalam melaksanakan tugas dengan amanah sebagai amat memalukan.

“Sehingga hari ini, SPR masih belum memberikan sebarang penjelasan mengenai perkara-perkara yang telah dibangkitkan.

“SPR dilihat seolah-olah bersuhabat dengan pihak-pihak yang lain dalam melaksanakan tindakan haram ini,” ujarnya.

BERSIH justeru menggesa semua Pesuruhjaya SPR agar meletakkan jawatan ekoran gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cekap, bertanggungjawab dan amanah.

Selain itu, BERSIH juga antaranya menuntut agar SPR dan Kementerian Pertahanan tampil menjelaskan mengenai perkara itu; membatalkan pemindahan dan pendaftaran baru itu sebelum daftar pemilih tambahan diwartakan; serta menggesa polis dan peguam negara menyiasat isu terbabit yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 3(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“BERSIH2.0 juga menyeru kepada orang ramai untuk membantu memastikan Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang berlangsung secara bersih dan adil.

“Orang ramai boleh menyertai kempen PEMANTAU PRU14 yang telah dilancarkan oleh BERSIH2.0 di www.pemantau.org,” katanya. – Roketkini.com