Berita

Kenapa peratus pendakwaan dan sabitan kes rasuah kian rendah?

KUALA LUMPUR, 8 NOV: 833 daripada 1229 atau 68 peratus kes rasuah telah disabitkan kesalahan dari tahun 2013 hingga September 2017, ujar Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Memetik jawapan Parlimen Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan jumlah itu katanya adalah kurang untuk tempoh yang sama dari tahun 2009 hingga 2013 di mana sebanyak 1395 daripada 1845 atau 76 peratus kes yang disabitkan kesalahan.

“Dengan kata lain, meski dengan pelbagai siasatan perprofil tinggi, bukan sahaja jumlah pendakwaan telah menurun, jumlah sabitan kesalahan oleh mahkamah juga berkurangan,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Tidak berpuas hati dengan angka tersebut, beliau justeru mempersoalkan kesungguhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan tugas mereka dalam membasmi gejala rasuah.

“Apa sudah jadi dengan janji Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad pada Mei tahun ini yang mahu sekurang-kurangnya menyiasat atau mendakwa satu kes setiap minggu dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membersihkan negara daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa?

“Adakah SPRM benar-benar meningkatkan usaha mereka dalam memerangi rasuah? Dan apakah kredibiliti yang ada pada SPRM jika mereka tidak berani untuk menyiasat penyelewengan dana dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam skandal 1MDB,” soalnya.

Ramai pihak memuji usaha SPRM akhir-akhirnya yang menangkap dan menyiasat bukan sahaja pegawai rendah yang dianggap ‘ikan bilis’ tetapi juga pegawai atasan berpangkat anggota Parlimen berhubung kes rasuah.

Sebagai contoh, Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga Ahli Parlimen Semporna ditahan SPRM pada 19 Oktober lepas bagi memudahkan siasatan berkaitan penyelewengan dana pembangunan luar bandar di Sabah berjumlah RM1.5 bilion.

Namun, pihak pembangkang melihat usaha itu masih belum mencukupi memandangkan pihak yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, khususnya “MO1” masih tidak disiasat dan dihadapkan ke muka pengadilan. – Roketkini.com