Berita

Guan Eng terharu semangat kental, muafakat rakyat Pulau Pinang hadapi bencana

GEORGE TOWN, 9 NOV: Di sebalik bencana banjir besar yang terpaksa diharungi akibat hujan lebat luar biasa pada 4 dan 5 November lalu, rakyat Pulau Pinang berjaya menunjukkan semangat kental dan kerjasama yang erat menghadapi segala dugaan yang datang.

Menzahirkan rasa terharunya, Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, rakyat negeri ini dan seluruh negara menunjukkan kebesaran hati mereka apabila telah mengorbankan seluruh tenaga, wang ringgit dan masa untuk turun menjadi sukarelawan ke kawasan bencana.

“Semua telah melakukan sedaya upaya mereka untuk bantu-membantu sesama sendiri, walaupun mungkin tidak mengenali antara satu sama lain.

“Inilah yang boleh dikatakan hidup bermuafakat, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setiausaha Agung DAP itu turut tersentuh dengan semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama negeri ini yang saling bekerjasama dan membantu antara satu dengan yang lain.

“Saya juga tersentuh dengan semangat perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di mana rakyat berbilang kaum dan agama telahpun membuka pintu rumah dan juga hati mereka.

“Orang Islam membantu bukan Islam dan orang bukan Islam membantu Islam, inilah wadah semangat Malaysia dan kekitaan tanpa kira perbezaan kaum dan agama yang paling murni sekali,” ujarnya.

Kemurnian hati dan keterbukaan itu katanya amat jelas dilihat apabila Bilal Surau Rumah Pangsa Taman Free School, Sapno Tukijo membenarkan surau itu menjadi tempat berteduh 70 mangsa bukan beragama Islam yang menyelamatkan diri daripada ribut dan banjir.

Selain itu, sikap yang sama ditunjukkan badan-badan bukan Islam seperti pertubuhan Tzu Zhi yang bertungkus lumus menjalankan menjalankan pembersihan dan bantuan kepada mangsa yang beragama Islam. – Roketkini.com