Berita

Pemilihan semula CEC berjalan lancar

SHAH ALAM, 12 NOV: Pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) hari ini berjalan lancar dengan kehadiran 53.94 peratus perwakilan daripada 2,514 notis yang dikeluarkan.

Pengundian bermula pada jam 12 tengah hari dan tamat pada jam 2 petang.

Sebanyak 1,346 kertas undi telah dikeluarkan kepada perwakilan bagi memilih 20 calon yang memiliki jumlah undi tertinggi.

Menurut pegawai pengurus pemilihan semula daripada firma juru audit Grant Thornton, John Lau, jumlah senarai calon pada kali ini kurang enam orang berbanding senarai dalam Kongres Kebangsaan DAP 2013 yang mempunyai 68 nama.

Pada 7 Julai lalu, Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang baru dengan dakwaan kononnya pelantikan CEC pada 29 September 2013 adalan tidak sah.

Apa yang menimbulkan persoalan, selain menggunapakai laporan palsu penulis rekaan Father Agustus Chen, arahan itu dibuat secara tiba-tiba setelah empat tahun berlalu, setelah dibangkitkan semula oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Dalam ucapan pembukaannya pagi tadi, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata pemilihan semula ini dilaksanakan  dengan bantahan.

“Kita semua sebagai para wakil DAP kebangsaan berkumpul hari ini untuk menghadiri Kongres Khas Kebangsaan seperti mana yang telah diarahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya parti mengadakan, sekali lagi, pemilihan baru untuk Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

“Kita telah pun membuat keputusan untuk akur dengan arahan ROS ini walaupun kita melaksanakannya dengan bantahan atau “under protest”.

Tegasnya, DAP akur kepada keputusan ROS meskipun arahan untuk memgadakan pemilihan semula itu “pelik, tidak masuk akal dan sepatutnya tidak perlu dilaksanakan sama sekali”.

“Ini adalah penting kerana DAP diancam dengan kemungkinan dibatalkan pendaftarannya sebagai sebuah parti yang sah,” katanya lagi.

Keputusan pemilihan semula akan diumumkan dalam masa terdekat.

Berita lanjut menyusul.