Berita

PRU14 dijangka pilihan raya paling kotor

SHAH ALAM, 12 NOV: Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan menjadi “ibu kepada semua PRU” dan dijangka menjadi pilihan raya paling kotor pernah diadakan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapannya di kongres khas pagi ini berkata situasi politik menjelang PRU14 amat berbeza.

“Pada PRU13, Najib belum lagi dibebankan dengan skandal 1MDB, cukai GST dan hal-hal buruk yang lain.

“Datuk Seri Anwar sekali lagi berada di dalam penjara, dan tidak boleh bertanding. PAS pula sekadar menjadi rakan de facto UMNO dan BN; manakala BN semakin rancak bermain isu perkauman dan sentimen agama semata-mata mahu memenangi undi Melayu,” kata beliau.

Menurutnya, matlamat Barisan Nasional (BN) saat ini ialah untuk memberi gambaran salah kononnya pakatan pembangkang sebagai gabungan yang diterajui DAP.

“DAP digambarkan sebagai parti orang Cina semata-mata – yang dianggap bahaya untuk orang Melayu. Kit Siang digambarkan sebagai ahli politik yang paling dibenci dalam sejarah Malaysia semata-mata mereka mahu DAP dilihat sebagai racun kepada pengundi Melayu; dan mana-mana parti majoriti Melayu yang bekerjasama dengan DAP juga menjadi racun kepada orang Melayu.

“Namun tiada siapa menjangka UMNO akan berpecah sekali lagi, dan membawa kepada perdamaian di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerjasama mereka membawa kepada pensejajaran Pakatan Harapan pada 14 Julai 2017 yang telah mengubah wajah politik negara,” ujarnya.

Guan Eng berkata, kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang hanya bakal menjadikan Malaysia berada di bawah pemerintahan kleptokratik dan memberi kesan besar kepada generasi baru.

“Jika BN menang, skandal 1MDB akan kekal sebagai luka yang parah untuk rakyat Malaysia dan menyakiti kita dengan kerugian berpuluh bilion Ringgit dalam masa mendatang ini.

“Jika BN menang, GST akan kekal, dan akan terus meningkat kadarnya seperti mana trend dunia. Jika BN menang, pendapatan sebenar kita akan gagal berkembang dan kos sara hidup akan meningkat lagi.

“Jika BN menang, tidak akan wujud perpaduan nasional kerana rakyat Malaysia akan diasing-asingkan dalam ruang kaum – di mana orang Melayu dianggap tidak cukup berjaya, orang Cina dituduh tamak dan tidak boleh dipercayai, dan orang India dipersalahkan dalam masalah gangsterisme; dan Sabah dan Sarawak pula dilayan seperti jajahan British sedangkan mereka sepatutnya menjadi rakan setara dengan Semenanjung dalam Persekutuan Malaysia,” tegas beliau.

Tegasnya, UMNO-BN akan terus memainkan sentimen kaum dan agama ebagai senjata untuk terus kekal berkuasa.

“DAP akan terus menjadi parti yang mereka buli kerana Najib mahu menakut-nakutkan pengundi Melayu daripada mengubah selera kepada Pakatan Harapan,” katanya lagi.

Kongres Khas DAP 2017 kali ini bakal menyaksikan 68 calon bertanding berdasarkan senarai pemilihan tahun 2012. – Roketkini.com