Berita

10,000 sukarelawan berjaya bersih lebih 90 peratus kawasan banjir

GEORGE TOWN, 13 NOV: 70 peratus kawasan di Seberang Perai dan 95 peratus kawasan di bahagian pulau telah berjaya dibersihkan hasil usaha sama kira-kira 10,000 sukarelawan yang menyertai program Pulau Pinang Bangkit pada 11 dan 12 November lepas.

Selain sukarelawan, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, kejayaan itu adalah juga hasil titik peluh kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor, Johor dan beberapa negeri lain.

“Pekerja PBT bekerja pada kapasiti maksimum sepanjang minggu, lori yang melakukan kerja-kerja pemindahan sampah tidak terkira banyaknya, sehingga jam tiga atau empat pagi,” katanya memetik laporan Buletin Mutiara.

“Kami (Kerajaan Negeri) akan memastikan bahawa dalam masa seminggu, tahap kebersihan akan dipulihkan pada keadaan normal,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota di Bilik Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.

Pulau Pinang dilanda banjir besar pada 4 dan 5 November yang lepas ekoran Fenomena Fujiwara iaitu dua taufan berbeza yang dikenal pasti sebagai punca hujan berterusan.

Tempoh hari, Ketua Menteri, Lim Guan Eng melancarkan program Hari Sukarelawan Pulau Pinang Bangkit, demi memulihkan semula semua yang terjejas teruk melalui kerja-kerja sukarelawan. – Roketkini.com