Berita

“Annuar Musa tak perlu menyibuk, dia pegang jawatan apa pun tak menjadi”

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Tohmahan melulu yang dilontarkan pemimpin UMNO – Barisan Nasional (BN) terhadap keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP semalam sudah dijangka.

Tambahan lagi apabila perwakilan membuat keputusan mengekalkan undi tertinggi kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meletakkan mereka dalam senarai 20 calon teratas mendapat undi.

Undi popular yang diberikan kepada dua pemimpin itu menyebabkan media pro-UMNO meneruskan dakyah mereka menuduh kononnya DAP mengamalkan politik ‘keluarga’.

Namun, segala dakwaan itu jauh menyimpang dari fakta sebenar apabila pemilihan berkenaan dibuat berasaskan sistem demokrasi, jelas Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau menyatakan, segala kenyataan yang dikeluarkan pemimpin UMNO dengan pelbagai dakwaan pasca pemilihan semula DAP semalam menunjukkan UMNO ‘memiliki simptom perasaan hasad dengki’.

“Ini keputusan yang dibuat perwakilan – ahli yang tentukan dan beri sokongan, yang lain tak perlu sibuk.

“Apa sebenarnya yang jadi masalah kepada mereka? Mereka iri hati dan tak puas hati apabila kita dilihat bersatu padu memberikan sokongan kepada pemimpin utama,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Ahli Parlimen Seremban berkata, pilihan yang dibuat perwakilan tersebut merupakan bukti bahawa apa juga tindak-tanduk BN mahupun ROS tidak mampu memecah belah perpaduan utuh DAP.

“Nak buat berapa kali pun pemilihan, perwakilan buat keputusan yang sama. Cukup-cukuplah kacau macam ini,” katanya.

Loke turut menempelak dakwaan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang membangkitkan persoalan tentang kekurangan pemimpin Melayu dalam kempimpinan baru DAP.

“Ini skrip biasa yang digunakan UMNO sejak dari dulu sampai sekarang, mereka cuba api-apikan isu ini.

“Kena ingat, DAP bukan parti satu kaum sahaja. DAP adalah parti berbilang kaum tapi kita akui keahlian memang tidak ramai Melayu. Secara dasarnya, kita adalah parti untuk semua kaum,” katanya.

Apa yang mustahak kata Loke, meski pun keahlian DAP dianggotai ramai kaum Cina dan India, DAP terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai parti untuk semua melalui pelbagai usaha meramaikan keanggotaan dan pemimpin dari pelbagai kaum negara ini.

“Ini adalah sebahagian proses kepelbagaian dalam DAP. Hakikatnya, dasar DAP terbuka kepada semua.

“Memang betul, kita tidak ramai ahli dari kaum Melayu tetapi kita ada wakil-wakil dalam parti terdiri dari kaum Melayu, India dan Orang Asal Sabah dan Sarawak,” kata beliau.

Beliau sebaliknya mempersoalkan kedudukan UMNO dan MCA yang hanya boleh dianggotai oleh sesuatu kaum sahaja.

“Jadi, UMNO dan MCA yang berasaskan kaum tak perlulah ajar DAP.

“Annuar Musa juga tidak perlu jadi jaguh pelbagai kaum, dia sendiri ‘kepala’ rasis. Kalau dia hebat, tak perlu lepas letak jawatan pengerusi MARA.

“Dia pegang jawatan apa pun tak menjadi, termasuklah bolasepak,” katanya lagi merujuk tindakan Annuar meletak jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan menarik diri bertanding Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). – Roketkini.com