Berita

DAP tawar khidmat guaman, bela nasib kakitangan hotel dilarang bertudung

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo menegaskan larangan wanita bertudung dalam industri perhotelan negara ini merupakan diskriminasi serta melanggar Perlembagaan.

Selain berat sebelah, larangan tersebut juga katanya merupakan pencabulan hak asasi manusia terhadap seseorang untuk mengamalkan kepercayaan agamanya.

“Saya merujuk kepada isu tentang staf wanita Muslim yang bertugas di bahagian perkhidmatan pelanggan (front desk).

“Sebenarnya tidak ada sebab untuk melarang wanita memakai tudung dalam industri perhotelan.

“Larangan itu, pada pendapat saya, adalah berat sebelah, bersifat diskriminasi, dan melanggar Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Puchong itu berkata, tindakan melarang pekerja wanita Islam bertudung juga merupakan sikap tidak sensitif terhadap kepercayaan seseorang.

“Kita sepatutnya menghormati dan mempertahankannya. Bagi saya, melarang pemakaian tudung dalam hal ini tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa supaya kerajaan menangani isu ini dengan baik, sama ada melalui undang-undang atau sebagainya.

“Jika perlu menyelesaikannya di mahkamah, saya bagi pihak  DAP,  sedia menawarkan bantuan guaman kepada mereka yang terjejas akibat larangan itu.

“Saya sedia membantu jika mereka yang terlibat mahu mencabar kesahihan larangan tersebut di mahkamah,” katanya lagi.

Kontroversi berhubung perkara ini tercetus apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan terdapat aduan daripada kakitangan wanita Islam yang diarah menanggalkan tudung mereka. – Roketkini.com