Berita

980 juta tan hasil laut dirompak nelayan asing, kerajaan tidak boleh berdiam diri

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin mahu supaya kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pencerobohan nelayan asing yang menyebabkan kehilangan 980 juta tan hasil laut setahun di perairan negara.

Situasi semakin bertambah buruk apabila agensi terbabit iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan saling menyalahkan antara satu sama lain sebagaimana dilaporkan akhbar The News Straits Times 9 November lalu.

“Saya mendesak supaya isu kehilangan beratus-ratus juta tan hasil laut negara ini disiasat oleh SPRM secara menyeluruh. Perkara ini bukanlah kali pertama dilaporkan. Sudah banyak kali tetapi semakin menjadi-jadi,” katanya dalam sesi perbahasan belanjawan Peringkat Jawatankuasa di Parlimen kelmarin.

Apa yang lebih menghairankan soalnya ialah bagaimana jumlah kehilangan ikan boleh diketahui pihak berkuasa namun masih gagal menjejaki siapakah dalang pencerobohan itu.

“Oleh itu, saya cadangkan supaya SPRM juga siasat pengarah dan pegawai-pegawai tinggi Maritim dan Jabatan Perikanan untuk pastikan pegawai-pegawai tidak terlibat dalam rasuah.

“Bukan sahaja itu, SPRM juga patut siasat sehingga ke peringkat kementerian Pertanian dan Jabatan Perdana Menteri untuk pastikan tidak wujud elemen rasuah di peringkat atasan.

“Kita bukan mahu ‘ikan bilis’ sahaja (didakwa jika rasuah), tapi juga ‘ikan jerung’,” kata beliau.

Terlebih dahulu Jimmy mengucapkan tahniah kepada SPRM apabila berjaya menahan 22 individu melibatkan seorang berpangkat Datuk warganegara Vietnam dan enam penjawat awam kerana disyaki terlibat dalam kemasukan nelayan asing.

Beliau turut membangkitkan beberapa persoalan lain berhubung jumlah penalti ‘ringan’ dikenakan terhadap nelayan asing yang berjaya ditahan pihak berkuasa sebelum ini.

Jelasnya, kesalahan tersebut yang di siasat di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 mengenakan denda maksimum sebanyak RM1,000,000 bagi kapten manakala sebanyak RM100,000 maksimum terhadap krew kapal.

Berdasarkan statistik bagi tahun 2017, Jabatan Maritim telah menahan sebanyak 133 bot pukat tunda yang melanggar peraturan perairan negara ini.

Daripada jumlah itu, 108 adalah bot daripada Vietnam dan 25 bot Indonesia manakala jumlah keseluruhan yang pernah ditahan ialah lebih 1,000 bot asing.

“Bayangkan berapa jumlah yang boleh kerajaan kutip sekiranya kerajaan tegas terhadap nelayan-nelayan haram ini.

“Jika penalti yang dikenakan itu terlampau sedikit, saya risau nanti nelayan asing ini tidak takut kepada pihak berkuasa kita,” katanya lagi. – Roketkini.com