Berita

15,000 penduduk Pulau Gaya tiada bekalan air bersih, apa UMNO Sabah buat?

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Meski pun telah dihuni sejak sebelum zaman pendudukan Jepun, penduduk Pulau Gaya yang terletak hanya 10 minit menaiki bot dari Bandaraya Kota Kinabalu masih belum menikmati kemudahan bekalan air bersih.

Lebih menyedihkan, sekitar 15,000 penduduk di pulau itu terpaksa bergantung kepada bekalan air yang dijual dengan harga jauh lebih mahal daripada orang tengahantara RM35 hingga RM40 bagi satu tong 200 liter.

Harga tersebut 41 peratus kali ganda jauh berbeza dengan harga air domestik di Kota Kinabalu iaitu sekitar 90 sen bagi setiap 1,000 liter.

Demikian dedah Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin ketika berucap membahaskan belanjawan 2018 Peringkat Jawatankuasa di Parlimen semalam menyentuh tentang kegagalan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sabah.

Selain tiada perkhidmatan bekalan air bersih, pengurusan sampah di Pulau Gaya juga bermasalah. Foto: Hafiz Zainuddin

Memetik laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), peruntukan keseluruhan projek bekalan air luar bandar di Sabah dari tahun 2010 sehingga tahun 2015 berjumlah RM2.001 bilion di mana sebanyak 184 projek telah dan sedang dilaksanakan.

Namun, situasi yang berlaku di Pulau Gaya amat mendukacitakan.

“Apa yang menghairankan, yang hanya dapat sistem bekalan air hanyalah pejabat ESSCOM, sekolah dan Gayana Resort sahaja.

“Adakah duit projek untuk sambung air paip di Pulau Gaya itu telah digunakan untuk membuat pejabat baru Ketua Menteri Sabah dengan harga RM600 juta?” soalnya.

Laporan PAC tersebut kata Penasihat DAP Sabah itu turut mendedahkan bahawa projek sistem agihan air Pulau Gaya telah dihentikan oleh Kerajaan Sabah dengan alasan melibatkan status pendudukan tanah yang tidak sah.

“Alasannya hanya kerana rumah-rumah ini di dalam status kampung tidak sah. Sepatutnya, kerajaan siasat sebelum luluskan projek ini? Sudah ada peruntukan, tiba-tiba (kerajaan negeri) cakap status kampung tidak sah?

“Saya amat terkejut dan hairan. Saya juga berasa amat sedih dengan tindakan zalim kerajaan UMNO Sabah ini. Apa yang mereka sudah buat?

“Saya ingin tegaskan, penduduk Pulau Gaya berhak untuk dapatkan kemudahan air walaupun status kampung mereka tidak sah! Status kampung mereka tidak sah kerana salah kerajaan BN dan bukan salah penduduk kampun,” tegasnya.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan bersama pasukannya dan Roketkini awal tahun lalu, keadaan Pulau Gaya senasib dengan keadaan dhaif yang melanda Kg Numbak di Sepanggar dan Pulau Sepanggar.

“Kebanyakan penduduk di pulau dan kampung-kampung berdekatan ini semua pun orang miskin. Apa yang berlaku, penduduk terpaksa beli air dari orang tengah yang jual dengan harga yang mahal,” kata beliau.

Jimmy berkata, keadaan kemudahan infrastrukturt air di Sabah jauh berbeza dengan Pulau Pinang dan Selangor yang masing-masing menikmati kemudahan tersebut dengan kadar yang murah.

“Kalau di Pulau Pinang, kadar harga air dalam 24 sen untuk 1,000 liter. Selangor, dapat 20,000 liter air secara percuma setiap rumah, di Pulau Gaya, 20 meter padu sudah RM3,500! Ini betul-betul sudah gila.” katanya.

Bagi menyelesaikan krisis air Pulau Gara tersebut, beliau mencadangkan supaya kementerian berkenaan membantu kerajaan Sabah. – Roketkini.com