Berita

Menteri tidak muncul, HARAPAN masih tidak tahu status pendaftaran

PUTRAJAYA, 20 NOV: Pertemuan yang dijadualkan antara Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berakhir hampa apabila beliau tidak muncul dan hanya mewakilkan Ketua Setiausaha KDN sahaja.

Pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan masalah pendaftaran HARAPAN, gabungan parti-parti DAP, PKR, Amanah dan PPBM.

Bercakap di luar pagar kompleks KDN, Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa kecewa beliau kerana tidak dapat berjumpa sendiri dengan menteri.

“Parti campuran ini perlu didaftar secepat mungkin kerana kita perlukan masa untuk buat persediaan PRU.

“Kalau diberi keputusan seminggu dua sebelum, masa tidak mencukupi,” ujar Tun Mahathir kepada pemberita.

Rombongan tersebut disertai Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka diberitahu bahawa kelewatan pendaftaran HARAPAN adalah ekoran beberapa masalah membabitkan parti-parti DAP dan PPBM.

“Kami cuma nak tahu dari menteri apa sebab lewat sangat? Ni tak ada kata yes or no. Kami dalam keadaan misteri. Kalau salah bagitahu lah.

“Cuma cakap dalam pertimbangan. Maknanya ada masalah, cuma tak diberitahu,” tambah mantan perdana menteri itu lagi.

Tun Mahathir menegaskan bahawa pihak HARAPAN akan mematuhi apa sahaja kehendak kerajaan yang tidak bertentangan dengan undang-undang, supaya gabungan tersebut didaftarkan secepat mungkin.

“Kita akan pertimbang segala usaha untuk dapatkan kelulusan,” ujar beliau.

DAP baru sahaja mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat 12 November lalu, setelah diarahkan berbuat demikian empat tahun selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mendiamkan diri.

Parti pimpinan Tun Mahathir pula baru-baru ini berhadapan kemungkinan dibatalkan pendaftaran, gara-gara masalah dalam sayap pemudanya. – Roketkini.com