Berita

Tidak adil tuduh graduan sertai SL1M ‘manja’

SHAH ALAM, 20 NOV: Tindakan Ketua Sekretariat Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Norashikin Ismail yang mendakwa graduan ‘cabut lari’ dalam program tersebut sebagai ‘manja’, ‘strawberry generation’ dan seumpamaya adalah tidak adil.

Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY, Muhammad Shakir Ameer berkata, kenyataan sinikal seperti itu tidak wajar dibuat.

“Walaupun seperti yang dikongsi oleh beliau bahawa bilangan peserta SL1M adalah sebanyak 138,398 namun tidak ada sebarang rekod bilangan peserta yang berhenti separuh jalan.

“Oleh yang demikian pihak SL1M tidak patut memberi anggapan sinis sebegitu tanpa bukti yang sahih,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Shakir, SL1M perlu berkongsi jumlah bilangan yang berhenti dan membuat kajian untuk mencari penyelesaian bagi menangani masalah sedemikian.

“Walaupun inisiatif SL1M sebenarnya adalah sebuah inisiatif untuk membendung pengangguran dalam kalangan graduan, namun beberapa kajian secara terperinci harus dilakukan untuk membendung masalah pengangguran jangka masa panjang.

“Sebagai contoh, sistem pendidikan negara harus membina jati diri dan kekentalan jiwa anak muda supaya diberikan kebolehan untuk mengatasi cabaran hidup.

“Adalah penting untuk anak muda diberikan motivasi untuk mengatasi segala cabaran di dunia ini yang membangun dengan pesat sekali,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata SL1M juga perlu bekerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi bagi menggalakkan pelajar memperoleh kemahiran semasa cuti semester bergantung kepada kursus pengajian dan pengkhususan.

SL1M juga katanya harus menaikkan elaun yang sedia ada daripada RM1,500 kepada RM2,300 sebulan bagi membantu anak muda menangani kos sara hidup.

“Kerajaan Persekutuan harus berunding dengan pihak swasta untuk menaikkan elaun bagi peserta SL1M. Harus diingati bahawa para graduan mencari kerja untuk mencari nafkah di samping mencari pengalaman hidup,” katanya lagi. – Roketkini.com