Berita

SEDIC boneka MIC, dana tidak sampai kepada masyarakat India?

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar mendakwa terdapat unsur penyelewangan membabitkan Unit Khas Pembangunan Soisoekonomi Masyarakat India (SEDIC) sejak ia ditubuhkan.

Organisasi yang pada prinsipnya bebas daripada campurtangan politik itu, katanya, telah hilang kewibawaan apabila pemimpin MIC sewenang-wenangnya menggunakan pengaruh mereka untuk mengawal kegiatannya.

“Akhirnya, SEDIC telah menjadi boneka MIC. SEDIC telah mengikut telunjuk MIC dalam menyalurkan dana kerajaan itu. Masyarakat India telah dimangsakan sekali lagi oleh pemimpin-pemimpin MIC,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbohong dalam pembentangan Belanjawan 2018 yang lepas apabila menyebut sejumlah RM230 juta telah disalurkan kepada masyarakat India melalui SIDEC dari 2014 sehingga kini.

“Perdana Menteri telah menipu masyarakat india kerana angka-angka yang disebut itu adalah tidak benar. RM230 juta tidak sampai kepada masyarakat India yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Walaupun ada projek-projek tertentu telah dilaksanakan oleh SEDIC, tetapi sebahagian besar wang peruntukkan itu telah diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu,” ujarnya yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP.

Malah, katanya lagi, kegagalan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri SK Devamany menjawab persoalan mengenai SEDIC di Parlimen membuktikan terdapat unsur penyelewengan dalam agensi tersebut.

“Timbalan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri itu telah mengelak menjawab soalan-soalan yang berhubung dengan peruntukan SEDIC ketika perbahasan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat minggu lalu,” ujarnya. – Roketkini.com