Berita

Tun M, Lim Kit Siang jawab soalan panas anak muda

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Dialog anak muda bersama mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam berjaya menarik kehadiran lebih 90 peratus golongan itu memenuhi dewan.

Acara yang dipengerusikan oleh Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal Yusof itu dianjurkan di Dewan Komuniti Petaling Jaya dan menyaksikan dua tokoh tersebut menjawab pelbagai soalan ‘panas’ yang dibangkitkan peserta.

Antara soalan yang mencuri tumpuan ialah berkenaan penahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tun Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika menjawab mengenai tahanan ISA melahirkan rasa hairan seolah-olah beliau merupakan Perdana Menteri paling bengis berbanding pendahulunya sebelum ini.

“Pada zaman Tunku (Abdul Rahman) yang pegang jawatan 13 tahun (Perdana Menteri), terdapat lebih 2,000 ditahan ISA; zaman Tun Razak – lebih 2,000; semasa Tun Hussein Onn ada lebih 4,000 ditahan ISA dan saya 1,200 orang sepanjang 22 tahun jadi Perdana Menteri.

“Sebaliknya saya yang masukkan ISA bilangan paling kecil jadi sasaran (kemarahan). Saya kurang faham.

“Apa yang saya lakukan ialah apa yang dilakukan oleh Tunku, Tun Razak, Tun Hussein tapi kenapa mereka tidak jadi sasaran? Adakah saya lebih bengis daripada mereka?

“Hari ini, ada orang buat undang-undang lebih buruk dari ISA tapi tak siapa complain,” katanya.

Beliau berkata, segala urusan keselamatan negara adalah tugas dan tanggungjawab polis dan mengakui tidak boleh mencampuri segala urusan tersebut.

Ini katanya termasuk ketika penangkapan Anwar Ibrahim.

Kata Tun Mahathir, dirinya tidak boleh membantah semua keputusan yang dibuat oleh pihak keselamatan.

“Tetapi yang paling penting hari ini ialah membuat perubahan, kita tidak mahu menjadi seperti Zimbabwe.” – Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

“Saya masih ingat tindakan yang nak diambil kepada Anwar. Saya beritahu polis jangan guna gari, jangan guna topeng, tapi mereka ada SOP (Prosedur Operasi Standard), mereka guna acara mereka,” jelas beliau.

Sementara itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah sempat menjawab persoalan sama ada beliau akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terhadap Mahathir serta kekayaan anak-anaknya.

Katanya, sebarang penyalahgunaan kuasa atau persepsi yang membangkitkan mengenai kesalahan itu harus disiasat secara menyeluruh.

“Tetapi yang paling penting hari ini ialah membuat perubahan, kita tidak mahu menjadi seperti Zimbabwe,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, walaupun terdapat perbezaan pandangan antara dirinya dan Tun Mahathir, namun beliau tidak pernah mengelar perdana menteri paling lama berkhidmat untuk dengan kata-kata “mahafiraun” dan “mahazalim”

“Sebagai perdana menteri, beliau bertanggungjawab terhadap semua penyalahgunaan kuasa termasuk Operasi Lalang, beliau berkata beliau bertindak atas nasihat keselamatan.

“Tetapi sebagai menteri dalam negeri, beliau harus bertanggungjawab terhadap tangkapan ke atas semua tahanan,” katanya. – Roketkini