Berita

Guan Eng puji kesabaran Tengku Zulpuri

GEORGE TOWN, 23 NOV: DAP hari ini melahirkan rasa kecewa sekaligus mengecam tindakan ganas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaacob yang mengajak Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bertumbuk di luar dewan, semalam.

Menyifatkan sikap liar berkenaan sebagai memalukan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Adnan gagal bersikap matang dan berwibawa malah menunjukkan teladan yang buruk kepada rakyat dengan memilih keganasan sebagai jalan penyelesaian.

“Tengku Zulpuri (Adun Mentakab) membangkitkan tentang permasalahan banjir di kawasan DUN beliau. Permasalahan banjir adalah permasalahan yang harus ditangani bersama demi keselamatan rakyat dan bukan tempat untuk bersikap emosi.

“Adnan sepatutnya menjadikan kerajaan Pulau Pinang sebagai contoh bagaimana perbezaan politik tidak menghalang kerjasama demi memastikan rakyat selamat dan tenteram,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, tamadun dunia yang maju tidak sama sekali mengajar manusia menggunakan kekerasan bagi melawan sebarang hujah yang tidak dipersetujui.

“Sebelum ini Adnan pernah menyalahkan penganjuran Oktoberfest sebagai sebabnya bencana ribut kencang dan banjir berlaku di Pulau Pinang.

“Ini juga mengejutkan kerana Oktoberfest telah dianjurkan selama 45 tahun tanpa sebarang masalah sebelum ini. Janganlah memperlekehkan kebijaksanaan rakyat Malaysia,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sehubungan itu, beliau menyatakan solidariti bersama Tengku Zulpuri yang juga merupakan Naib Pengerusi DAP sambil memuji sikap beliau yang sabar dan tidak melayan provokasi pemimpin UMNO-Barisan Nasional (BN) itu.

“Inilah sifat terpuji seorang pemimpin yang matang, berwibawa dan sanggup berdepan apa saja demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Saya berharap kejadian ini membuka mata rakyat Malaysia agar memilih pemimpin yang terbaik demi kesejahteraan mereka,” katanya. – Roketkini.com