Berita

Gobind wakili bekas wartawan Utusan buat semakan kehakiman

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Semakan kehakiman oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia di Mahkamah Tinggi membabitkan kes bekas pengerusi NUJ Utusan Melayu, Amran Ahmad bukan sekadar kes individu tetapi bakal menjadi rujukan mana-mana kes melibatkan kesatuan pekerja pada masa hadapan.

Semakan kehakiman itu dibuat setelah Amran sebelum ini tidak berjaya dalam tuntutannya di Mahkamah Perusahaan setelah mendakwa dibuang kerja secara salah oleh syarikat itu pada 2009 ekoran aduannya mengenai sebuah transaksi syarikat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

NUJ dalam kenyataannya semalam melantik Gobind Singh Deo mewakili Amran untuk memfailkan semakan kehakiman kes pembuangan kerja beliau.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Gobind dibuat berdasarkan merit peguam tersebut yang pernah memenangi banyak kes termasuk pembuangan wartawan Utusan sebelum ini.

“NUJ berpendapat, kes Amran ini bukan hanya berkaitan kes individu yang bergelar pengerusi cawangan semata-mata akan tetapi ia bakal menjadi rujukan dalam mana-mana kes membabitkan pemimpin kesatuan sekerja di masa depan.

“Jika keputusan oleh Mahkamah Perusahaan dalam kes ini tidak melalui semakan kehakiman dan kekal begitu, NUJ khuatir kesatuan sekerja di negara ini takut untuk bersuara dalam menegakkan perjuangan mereka,” kata kenyataan tersebut.

Selain NUJ, Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) juga turut memberi sokongan moral selain nasihat perundangan bagi menfailkan semakan kehakiman tersebut.

“NUJ juga akan berusaha dan berdoa agar kes ini menyebelahi pihak kesatuan kerana ia sangat penting demi bukan sahaja masa depan NUJ malah semua kesatuan sekerja lain di negara ini,” kata NUJ.

Amran ketika ditemui Roketkini berharap agar kes tersebut dapat diadili sebaik-baiknya kerana ia mampu memberi kesan terhadap hala tuju dan nasib seluruh kesatuan sekerja negara ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada NUJ dan MTUC yang menyokong perjuangan saya. Tidak lupa juga atas kesudian Peguam, Gobind Singh Deo yang menjadi peguam membela nasib kami, pekerja negara ini,” katanya lagi. –Roketkini