Berita

Adun DAP tuntut MB Johor jawab dakwaan skandal tanah

JOHOR BAHRU, 27 NOV: Adun Senai, Wong Shu Qi menggesa Menteri Besar Johor, Datuk Khaled Nordin agar tidak berdolak-dalih dan menjawab dakwaan yang dikemukakannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini berhubung penglibatannya dalam skandal tanah.

Shu Qi dalam sidang DUN mendakwa Khaled menerima sejumlah wang untuk mengubah status lot perumahan Bumiputera kepada status Bumiputera.

Maklumat itu katanya diperolehinya daripada laman sesawang yang memuat naik kenyataan saksi dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal tersebut.

Bagaimanapun, kenyataan Penolong Publisiti DAP Johor itu tidak disenangi wakil rakyat BN yang menuduh kononnya dakwaan yang dibangkitkan Shu Qi itu berniat jahat terhadap Khaled dan menggesa beliau menarik semula kenyataannya.

Pun begitu, Shu Qi bertegas dan enggan menarik balik kenyataan tersebut.

“Adun Barisan Nasional (BN) minta saya tarik balik (kenyataan itu), kalau tidak mereka mahu rujuk saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Tetapi saya enggan tarik balik walaupun Timbalan Speaker minta saya berbuat demikian,” katanya kepada Roketkini.

Katanya, 10 Adun BN telah berdiri dan menyokong usul untuk merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, namun tiada sebarang keputusan dibuat Timbalan Speaker sehingga waktu rehat.

“Selepas waktu rehat, Speaker tanya saya sekali lagi untuk menarik semula kenyataan tersebut, dua kali saya kata bahawa saya tidak akan tarik balik (kenyataan itu). Kemudian dia ambil keputusan meminta saya keluar (dewan),” ujarnya.

Shu Qi menegaskan bahawa tuduhan berkenaan bukan dibuat secara membuta tuli, sebaliknya berdasarkan kenyataan saksi kepada SPRM berhubung skandal tanah terbabit.

“Itu bukan tuduhan yang dibuat oleh saya. Adalah menjadi tanggungjawab Menteri Besar menjelaskan dakwaan itu dan membersihkan namanya serta kerajaan.

“Lebih baik dia jawab perkara ini di dewan daripada meminta saya keluar dari dewan,” katanya.

Beliau justeru menggesa Khaled menjawab dakwaan berkenaan dalam pengulungan perbahasan pada sidang DUN Isnin depan. – Roketkini.com.