Berita

DAP umum letak calon rebut kerusi DUN Bingkor

KENINGAU, 27 NOV: DAP secara rasmi mengumumkan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N33 Bingkor yang bakal bertarung merebut kerusi tersebut daripada penyandangnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt mengishtiharkan Peter Dhomas bin Saili atau lebih dikenali sebagai Peter Saili, 66, sebagai calon DAP yang bakal berentap di kerusi tersebut.

Peter Saili, Pengerusi DAP Keningau, calon pilihan raya DAP Dun Bingkor.

Pengumuman itu dibuat baru-baru ini sewaktu majlis perasmian sebuah lagi projek Sistem Agihan Air Graviti oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang bakal memberikan kemudahan kepada 58 keluarga di Kampung Pangas Ulu dekat sini.

Stephen berkata, perletakan Peter sebagai calon di DUN Bingkor akan memberikan kelebihan kepada DAP yang sememangnya giat menjalankan pelbagai program pembangunan infrastruktur dan kebajikan masyarakat di sini.

“DAP telah membuktikan parti bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan tiada siapa yang dipinggirkan,” katanya.

Peter ketika ditemui berkata DAP telah membuktikan bahawa ia merupakan sebuah parti yang bekerja untuk rakyat dan bukan parti yang gemar ‘mengangkut orang ramai hadir ke program perjumpaan’.

DAP juga katanya telah bekerja keras membiayai banyak program dan projek pembangunan infrastruktur serta pengukuhan komuniti khususnya di kawasan pedalaman yang masih jauh ketinggalan.

“DAP sudah membuktikan bahawa bukan bukan sekali dua kita bekerja untuk rakyat dan demi rakyat seperti yang telah dimaklumi sebelum ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bersama pimpinan DAP Sabah merasmikan Projek Air Graviti di Kg Pangas Ulu.

“Tidak seperti sebahagian parti-parti pembangkang tempatan yang hanya membuang duit dengan perbelanjaan mengangkut orang ramai hadir ke program perjumpaan atau siri jelajah,” katanya.

Beliau juga berkata, DAP juga tidak bercakap kosong memperjuangkan hak-hak yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia (MA63) tetapi komited untuk menewaskan kerajaan ‘kleptokrasi’ demi mendaulatkan kembali MA63.

Peter mula bergiat dalam dunia politik bermula dari tahun 1985 hingga 1994 bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Bahagian PBS Sook, Pemimpin Kemajuan Rakyat dan Setiausaha Politik kepada salah seorang menteri semasa era pemerintahan PBS.

Pada PRU13, DUN Bingkor memiliki 15,878 pengundi dan disandang oleh oleh Datuk Jeffrey Gapari Kitingan dari Parti Reformasi Negeri (STAR) selepas menang tipis menewaskan Barisan Nasional (BN) dan PKR dengan majoriti 456 undi. – Roketkini.com