Berita

Isu selenggara rumah kos rendah tidak perlu aksi ‘Santa Klaus’

SUBANG JAYA, 27 NOV: Kerajaan disaran agar mengambil alih tugas penyelenggaraan perumahan kos rendah dan sederhana yang tidak mempunyai jawatankuasa pengurusan (MC) bagi memastikan bangunan tersebut dijaga dengan baik.

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, ini bagi menyelesaikan masalah perumahan kos rendah dan sederhana yang tidak diselenggara dengan baik atau tidak pernah diselenggara langsung.

“Cara terbaik adalah dengan meminda Akta Pengurusan Strata, dengan mewujudkan jabatan kerajaan baru yang bertanggungjawab terhadap senggaraan di kawasan bersama dalam lingkungan perumahan kos rendah dan sederhana.

“Ini bagi memastikan semua kerja-kerja pembersihan berkala dilakukan mengikut jadual, dan kemudahan seperti tangki air, lif, tapak permainan, surau, dewan komuniti, tempat letak kereta dan lain-lain diselenggara dengan baik,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Rajiv, adalah tidak wajar perumahan kos rendah dan sederhana diletakkan di bawah peraturan dan sistem yang sama seperti perumahan mewah yang mana penduduknya membentuk MC dan membayar sendiri kos penyelenggaraan.

“Ini tidak praktikal untuk perumahan kos rendah dan sederhana. MC kadang-kala gagal dibentuk ekoran kekurangan korum dalam mesyuarat, terdapat juga kes di mana cukup korum, tetapi tidak ada pemilik yang mahu untuk menganggotainya.

“Menjadi sebahagian daripada komuniti adalah tugas yang sukar, dan sering tidak dihargai, dan ini yang menjadi masalah kepada golongan B40 yang tidak ada cukup masa untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut (ekoran sibuk mencari rezeki),” ujarnya.

Malah, katanya, bantuan secara sekali beri (one-off) oleh kerajaan bagi membantu menyelesaikan masalah perumahan kos rendah dan sederhana bukanlah langkah yang terbaik bagi tempoh jangka masa panjang.

“Sejak mengambil alih Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar aktif dalam melakukan lawatan ke pelbagai rumah pangsa kos rendah di Selangor, memberikan bantuan kewangan bagi tujuan penyelenggaraan.

“Namun langkah ini (bantuan sekali beri) sebenarnya tidak adil dan tidak mampu bertahan dalam jangka masa panjang,” ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor.

Justeru, kata Rajiv, kerajaan harus bertindak segera mengubah dasar sedia ada yang dilihat tidak berlaku adil kepada penduduk rumah kos rendah dan sederhana.

“Sudah tiba masanya menteri berkenaan (Noh Omar) memainkan peranannya dengan mentadbir sebetulnya, dan tidak hanya memain peran sebagai Santa Klaus demi kepentingan politik semata-mata,” katanya. – Roketkini.com