Berita

RM9 juta sumbangan banjir diserahkan kepada kerajaan negeri – DAP P. Pinang

GEORGE TOWN, 27 NOV: Tabung Bencana Taufan dan Banjir Pulau Pinang berjaya menerima sumbangan berjumlah RM9 juta sejak ia dilancarkan DAP negeri pada 6 November lepas.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, RM5 juta daripada hasil kutipan tersebut telah diserahkan kepada kerajaan negeri pada 9 November lepas, manakala RM3 juta lagi pada 15 November.

“Pada hari ini, DAP Negeri Pulau Pinang akan membuat penyerahan terakhir iaitu sejumlah RM1 juta kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membantu mangsa banjir dan ribut di Negeri Pulau Pinang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

RM91,709.04 daripada keseluruhan kutipan tersebut katanya adalah hasil sumbangan DAP Pulau Pinang sendiri.

“Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kami kepada orang ramai yang telah menyumbang dan menghulurkan bantuan khususnya bantuan kewangan ini.

“Saya yakin dengan bantuan ini, ia akan membantu rakyat Pulau Pinang yang terjejas seakibat bencana ini bagi memulihkan keadaan kehidupan mereka dengan cepat,” katanya yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri. – Roketkini