Berita

Kenyataan Ku Nan penghinaan terhadap MARA, UiTM – Dyana Sofya

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengaitkan pelajar yang memasuki UiTM sebagai ‘slow learners’ jelas satu penghinaan terhadap institusi tersebut kata Ahli Jawatankuasa DAPSY Kebangsaan, Dyana Sofya Mohd Daud.

Menurutnya, Ku Nan tidak patut merendah-rendahkan atau menyalahkan pelajar institusi berkenaan sekiranya sistem pendidikan yang dilaksanakan kerajaan UMNO-BN sendiri gagal menjalankan tanggungjawabnya.

“Kebanyakan pelajar UiTM bukanlah ‘slow learners’ , tetapi mereka adalah ‘underprivileged’ oleh kerana dasar-dasar sosio ekonomi yang gagal menjaga kebajikan dan gagal menyediakan akses saksama kepada peluang pendidikan, pekerjaan dan sebagainya.

“Adakah beliau juga mengatakan alumni UiTM seperti Datuk Seri Azalina Othman, Menteri di JPM, Tan Sri Richard Malanjum, Ketua Hakim bagi Sabah dan Sarawak sebagai slow-learners?” soalnya dalam kenyataan.

Dyana yang juga graduan jurusan undang-undang UiTM itu berkata, kenyataan Ku Nan itu juga suatu tamparan hebat kepada institusi MARA dan penghinaan terhadap pelajar, alumni UiTM sendiri.

Ini ujarnya termasuk penghinaan terhadap Tan Sri Arshad Ayub yang merupakan tulang belakang kepada institusi berkenaan apabila ditubuhkan pada tahun 1966. – Roketkini