Berita

Tol akan naik lagi jika BN menang PRU14

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) akan terus menaikkan kadar tol jika mereka menang dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, dakwa Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming.

Pemerhatian ini, katanya, berdasarkan tindak-tanduk BN sendiri yang telah memungkiri janjinya untuk mengurangkan kadar tol secara berperingkat di kebanyakan lebuhraya di Lembah Klang seperti dalam manifestonya pada PRU13 yang lepas.

“Dua tahun setengah selepas PRU13, kerajaan BN gagal menunaikan janji dalam manifestonya itu dan membenarkan kenaikan kadar tol antara dari RM0.20 ke RM2.30 di lapan buah laluan tol.

“Sebagai contoh, tol bagi lebuhraya MEX ke Putrajaya meningkat dari RM2.50 kepada RM3.50. Tol bagi lebuhraya LDP pula dinaikkan sebanyak RM0.50 dari RM1.60 kepada RM2.10,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Ong, kerajaan mesti membayar pampasan kepada syarikat konsesi tol jika kadar tol tidak dinaikkan seperti yang dijadualkan.

Namun, mengambil kira kedudukan kewangan negara yang tidak stabil, kerajaan mungkin tidak mampu untuk membayar pampasan dan syarikat konsesi akan dibenarkan untuk menaikkan kadar tol, contohnya kadar tol PLUS yang sepatutnya dinaikkan sebanyak 5 peratus pada 2016 namun tidak dilaksanakan.

“Mengikut laporan akhbar, PLUS dibenarkan untuk menaikkan kadar tol sebanyak 5 peratus setiap tiga tahun.

“Jika kenaikan yang sepatutnya berlaku pada 2016 itu dikira sekali dengan unjuran kenaikan kadar tol pada 2019, PLUS akan meningkatkan kadar tolnya sebanyak 10 peratus,” katanya.

Mengambil kira kenaikan 10 peratus itu, katanya, kadar tol bagi laluan sehala dari tol Damansara ke Petaling Jaya ke tol Jawi di Pulau Pinang akan meningkat sebanyak RM4.05 dari RM40.50 kepada RM44.55.

Beliau turut menjangkakan berlakunya peningkatan kadar tol di kebanyakan lebuhraya di Lembah Klang.

“Sebagai contoh, kadar tol LDP di Puchong akan meningkat dari RM2.10 kepada RM3.10,” ujarnya yang juga Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP.

Beliau justeru menggesa rakyat supaya mengundi Pakatan Harapan (HARAPAN), yang bertekad mahu mengambil alih semua konsesi tol secara berperingkat dan seterusnya menghapuskan kesemua tol di negara ini, dalam PRU14. – Roketkini.com