Berita

Adakah UMNO-BN betul-betul serius memperkasakan wanita?

Kerajaan mungkin tidak mengamalkan dasar yang mendiskriminasi wanita, namun itu tidak bermakna kerajaan yang dipimpin UMNO-Barisan Nasional (BN) itu melakukan usaha yang cukup untuk memperkasakan golongan itu dalam lapangan politik.

Lihat sajalah tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tanpa segan silu melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Akademi MyWin, sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk membentuk dan melahirkan generasi serta inovator wanita dalam sektor korporat khususnya sebagai pembuat dasar.

Lima tahun sebelum, Najib turut melakukan perkara serupa dengan membelakangi peranan wanita dalam jawatan tertinggi badan berkaitan golongan itu apabila melantik dirinya untuk memangku jawatan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.

Meskipun separuh daripada populasi di negara ini adalah terdiri daripada wanita, menurut Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Lim Yi Wei, penglibatan golongan itu dalam politik amat kurang dan ia sekaligus bermaksud bahawa suara-suara mereka ditindas dan tidak didengari.

Beliau turut membangkitkan bahawa sehingga kini tidak ada seorang pun wanita yang menjadi Perdana Menteri atau Ketua Menteri. Apatah lagi sejak zaman pentadbiran Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri, hanya 25 pemimpin wanita pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri.

“Kami hanya ada 11 menteri wanita secara keseluruhan, secara puratanya hanya dua menteri untuk setiap penggal,” ujarnya.

Beliau turut memetik Laporan Jurang Gender Global 2017 yang dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang meletakkan Malaysia di kedudukan 104 daripada 144 buah negara.

Laporan berkenaan mengukur empat bidang kritikal antaranya peluang dan penglibatan ekonomi, perolehan pendidikan, kesihatan dan jangka hayat serta pengupayaan politik.

Bagi bidang pengupayaan politik, Malaysia diletakkan di tempat yang lebih jauh iaitu 133 daripada 144 buah negara.

Kata Yi Wei yang juga pembantu khas kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, jurang kesaksamaan gender dalam bidang pengupayaan politik harus diberi penekanan terlebih dahulu jika kerajaan mahu merapatkan kembali jurang lain seperti ekonomi, pendidikan dan kesihatan antara gender.

“Sebagai wanita muda dalam DAP dan Pakatan Harapan, saya bersyukur mempunyai pemimpin wanita yang mampu merintis jalan baru dan pemimpin lelaki yang melihat kami sebagai rakan kongsi setara,” ujar Yi Wei.

DAP dan Pakatan Harapan dilihat jauh berbeza dengan UMNO-BN yang mana sesetengah pemimpinnya sering mengeluarkan kata-kata seksis yang menyinggung golongan wanita.

“Baru minggu lalu, Datuk Bung Mokhtar (Ahli Parlimen Kibatangan) berkata jika perempuan itu ‘tidak cantik’, dalam keadaan telanjang pun orang tidak mahu,” katanya. – Roketkini.com