Berita

Utusan dapat talian hayat jadi pembekal tablet bantuan mengajar RM340 juta

Parlimen baru-baru ini didedahkan bahawa syarikat surat khabar milik UMNO, Utusan Melayu (Malaysia) Sdn Bhd telah mendapat kontrak RM340 juta bagi membekalkan komputer tablet bantuan mengajar kepada 430,000 guru di seluruh negara.

Pendedahan itu diketahui melalui jawapan parlimen oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan kepada soalan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Menurut Timbalan Menteri itu lagi, setakat ini, sebanyak 182,712 tablet telah pun diagihkan dengan perbelanjaan sebanyak RM152 juta.

Persoalannya kata Steven ialah, bagaimana sebuah syarikat surat khabar yang mengalami kerugian setiap tahun boleh diberi kontrak RM340 juta membekalkan peralatan bantuan mengajar tersebut?

“Bagaimana sebuah syarikat surat khabar yang telah mengalami kerugian hampir RM220 juta boleh dilantik menjadi pembekal komputer tablet bagi projek bernilai RM340 juta? Tambahan pula projek ini diberikan tanpa tender terbuka.

“Daripada tahun 2013 sehingga ke suku ke-2 tahun 2017, Utusan telah kerugian hampir RM220 juta.

“Pada tahun 2016, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan, Zainuddin Maidin telah menggelar Utusan sebagai sebuah syarikat yang sedang “sakit” kerana kelewatan membayar gaji kepada pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan ini kata Steven membuktikan Utusan Malaysia yang merupakan alat propaganda UMNO kini sedang ‘sakit tenat’ dan menunjukkan ‘tidak pernah dan tidak berhasrat untuk berubah’.

“Pentadbiran UMNO-BN tetap berpaksikan 3K iaitu, Korupsi, Kronisme, Kleptokrasi,” katanya lagi.

Berdasarkan laporan Biro Audit Pengedaran pada Mei 2017, pengedaran Utusan Malaysia telah merosot sebanyak 14 peratus atau pengurangan lebih 20,000 naskah manakala pengedaran Mingguan Malaysia pula mencatatakan penurunan sebanyak 10 peratus iaitu sekitar 30,000 naskah. – Roketkini