Berita

Utusan Malaysia buat untung berganda jual komputer tablet kepada guru sekolah

Utusan Malaysia, akhbar milik United Malays National Organisation kini barangkali sudah jemu menulis berita propaganda. Khabarnya sekarang, Utusan sudah mula berniaga tablet pula.

Ini seperti zaman pejabat pos cuba-cuba berniaga komputer satu masa dahulu.

Apa yang lebih menarik ialah syarikat Utusan bukan sahaja mendapat kontrak untuk membekalkan komputer tablet kepada lebih 400 ribu orang guru di seluruh negara, harganya pula 114% lebih mahal berbanding harga pasaran.

Cerita ini didedahkan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim minggu lalu, dengan jangkaan kos projek mencecah RM340 juta.

Steven telah bertanya di Parlimen, bagaimana mungkin sebuah syarikat penerbit surat khabar boleh diberikan kontrak pembekal komputer tablet?

Kalau ya pun hendak diberi kontrak ini kepada syarikat kroni, dah sampai kenapa perlu diberi kepada syarikat yang rugi saban tahun sejak 2013? Kerugiannya pula bukan kecil, malah mencecah RM220 juta.

Lebih menghairankan, kata Steven; kenapa tidak boleh dibuat tender terbuka untuk projek bernilai RM340 juta ini?

Di Parlimen, Timbalan Menteri Pendidikan memberitahu Steven bahawa sebanyak 182, 712 unit komputer tablet telah diedarkan dengan kos mencecah RM152 juta.

Ini bermakna setiap unit tablet yang dibekalkan oleh Utusan kepada kerajaan adalah berharga RM832.

“Mengikut maklumat yang diberi oleh seorang guru di Negeri Sembilan, komputer tablet yang diedarkan kepada mereka merupakan jenis Lenovo Tab3 7 Essential.

“Saya juga mendapatkan pengesahan daripada carian atas talian sebuah blog yang melaporkan tentang tablet tersebut,” ujar Steven dalam kenyataannya.

Lenovo Tab3 7 Essential ini boleh dibeli dengan harga RM388.

“Ini bermakna, kerajaan pusat telah membeli setiap tablet daripada Utusan dengan harga 114% lebih mahal daripada harga pasaran!” jelas beliau.

Selalunya benda kalau dibeli dalam jumlah yang banyak, harganya akan diberi diskaun. Teori yang sama terpakai dalam hal pembelian komputer tablet. Bahkan kalau digunakan proses tender terbuka, harga yang jauh lebih murah dapat diperoleh.

Kita pastinya ingat dengan laporan Jabatan Audit Negara yang saban tahun menunjukkan bagaimana kerajaan begitu membazir dengan membeli barang melebihi harga pasaran.

Kali ini, lidah rasmi UMNO pula yang terlibat. Barangkali untuk menyelamatkan syarikat terbabit yang kini menanggung bala akibat tewas berkali-kali dalam saman fitnah terhadapnya oleh pimpinan Pakatan Harapan.

“Budaya 3K UMNO-BN, iaitu, Korupsi, Kronisme, Kleptokrasi, tetap tidak berubah.”

Kerajaan Persekutuan seharusnya serta merta menghentikan perkhidmatan syarikat Utusan sebagai pembekal tablet bantuan mengajar.

“Syarikat baru mestilah dilantik daripada kalangan syarikat yang berpengalaman serta melalui proses tender terbuka,” tegas Steven. – Roketkini.com