Berita

Episod baru drama pengundi meragukan di kem tentera Segamat

Kontroversi melibatkan senarai 1,051 pengundi meragukan di lokaliti yang belum siap dibina di kem tentera di Segamat semakin panas dalam sesi pendengaran yang bermula semalam dan akan berakhir 10 Disember ini.

Sesi pendengaran tersebut melibatkan 54 pembantah yang merupakan pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah, orang kena bantah (OKB) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Menurut Pengarah Pilihanraya DAP Johor, Tan Hong Pin, sehingga hari ini, sebanyak 230 pendengaran kes daripada 1,051 telah diputuskan namun keputusan awal berpihak kepada OKB.

“Daripada 230 OKB, 16 kes OKB ditangguhkan SPR kerana beberapa isu teknikal melibatkan senarai yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Beliau melahirkan rasa kecewa kepada keputusan SPR itu memandangkan pihak pembantah telah pun mengemukakan bukti kukuh bahawa kem tentera tersebut belum siap dibina.

SPR juga katanya tidak mahu menunjukkan bukti dan senarai yang menyatakan OKB tersebut menetap di lokaliti berkenaan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke 23 November lalu dalam sidang Parlimen berkata, pihaknya sudah memiliki senarai anggota tentera yang akan dipindahkan.

“Kem itu sekarang dalam pembinaan. Belum siap. Tetapi anggota kita perlu untuk menjalankan operasi di satu-satu kem itu. Sebab itu mereka ditempatkan di sana,” kata Johari.

Apa yang lebih mengecewakan kata Adun Mengkibol itu ialah sikap dan tindak-tanduk SPR yang berat sebelah seolah-olah bertindak sebagai ‘pemain’ dan bukannya ‘pengadil’.

SPR menyusahkan, tidak adil, berat sebelah

“Bagi saya SPR sepatutnya jadi pengadil, apa yang berlaku, sekarang dia (SPR) sudah jadi ‘pemain’. SPR nampaknya terlalu berpihak kepada orang yang dibantah,” tegasnya.

Perkara itu lebih jelas apabila SPR cuba ‘menyusahkan’ pembantah dengan meminta mereka ‘bercakap’ tanpa membaca kenyataan yang telah disediakan pembantah sendiri.

Ini termasuk halangan dari SPR yang tidak membenarkan peguam yang mewakili pembantah hadir dalam sesi pendengaran dalam masa yang sama membenarkan pegawai kepada OKB dalam sesi tersebut.

“Kelakuan SPR semasa sesi pendengaran ini seolah-olah mewakili OKB argue dengan pembantah, bukannya pengadil,” katanya.

Menurutnya, sesi yang berlangsung tersebut seperti “Satu ‘drama’ kerana segala keputusan seolah-olah sudah ditentukan.”

“Tapi kalau nak ‘drama’ sekalipun, biarlah berlakon professional sikit,” katanya lagi.

Sementara itu, Adun Jementah, Tan Chen Choon semasa dihubungi turut menzahirkan rasa kecewa terhadap agensi awam itu yang disifatkannya sebagai tidak professional dan tidak adil.

“Kita rasa (SPR) tak professional dan berat sebelah. Dia sebagai pengadil perlulah jalankan tugasnya dengan baik.

“Saya berasa amat kesal dengan cara SPR menangani pembantah yang mana mereka semua adalah orang awam,” katanya lagi.

Isu pengundi meragukan di lokaliti tersebut bermula setelah DAP Johor dalam sidang media pada 31 Oktober lalu mendesak supaya SPR dan menteri berkenaan memberi penjelasan terhadap senarai meragukan 1,051 pengundi yang terdiri dari anggota tentera.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, DUN Jementah menyaksikan kemenangan calon DAP, Tan Chen Choon menewaskan calon BN Lee Hong Tee dengan majoriti 2,196 pengundi.

DAP memperoleh sebanyak 12,781 undi berbanding BN berjumlah 10,585 undi daripada jumlah keseluruhan pengundi seramai 28,230. – Roketkini