Berita

Skandal hartanah Johor: Kenyataan bercanggah bukti Khaled makin panik

Menteri Besar Johor, Datuk Khaled Nordin nampaknya semakin panik apabila dilihat mengeluarkan kenyataan bercanggah ketika menjawab dakwaan pihak pembangkang terhadap pembabitannya dalam skandal hartanah di Johor.

“Khaled menyatakan bahawa YB Senai sewaktu mengajukan persoalan berkaitan skandal hartanah minggu lalu telah membuat tuduhan yang tidak berasas.

“Namun pada masa yang sama, Khaled mendakwa YB Senai telah ‘menggunakan Dewan untuk membocorkan rahsia rasmi Kerajaan’.

“Anehnya, sekiranya Khaled mendapati tuduhan tersebut tidak berasas, apa perlunya beliau mengeluarkan kenyataan kontradik yang mengaitkan persoalan YB Senai dengan ‘rahsia rasmi Kerajaan’?” soal Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor dalam kenyataan, hari ini.

“Hal ini tidak lebih sekadar menunjukkan sikap Khaled yang sedang panik,” tambahnya.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi HARAPAN Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi PPBM Johor, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Pengerusi AMANAH Johor, Aminulhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Wong Shu Qi yang merupakan Adun Senai dalam ucapannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini menggesa Khaled agar menjawab sama ada beliau terlibat secara langsung dalam skandal hartanah di Johor.

Shu Qi merujuk dokumen rakaman percakapan membabitkan kes rasuah hartanah Exco Johor, Datuk Abd Latiff Bandi yang bocor di media sosial dan disahkan kesahihannya oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dokumen yang merakam kenyataan saksi SPRM, Amir Shariffuddin itu mendakwa Khaled menerima RM12 juta daripada Amir.

Shu Qi turut dipanggil polis untuk siasatan ke atas ucapannya itu mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Beliau dijadualkan memberi kenyataan kepada pihak berkuasa pada Jumaat ini.

HARAPAN Johor dalam pada itu menyifatkan kenyataan Khaled yang menegaskan bahawa pentadbiran beliau kononnya bersih dan ‘tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan’ sebagai retorik semata-mata.

“Hakikatnya, Exco di bawah pentadbiran beliau sendiri pada awal tahun ini, Datuk Abd Latiff Bandi telah didakwa atas tuduhan rasuah berhubung isu hartanah Johor,” ujar mereka. – Roketkini.com