Rencana

Reformasi institusi atau politik ikon?

Bahang Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 yang akan diadakan pada bila-bila masa kini kian terasa. Demikianlah parti-parti politik bersama ideologi dan strategi masing-masing melakar impian, tawaran dan harapan mereka untuk cuba meraih undi daripada rakyat Malaysia.

Apabila kita meneliti perkembangan semasa terhadap sintesis and antitesis idea yang dibawa oleh parti-parti politik, kita akan sedar bahawa masyarakat kini masih terperangkap dengan politik ikon. Contoh wacana dilema yang melanda masyarakat adalah siapakah Perdana Menteri pilihan parti politik itu? Malangnya bukan idea atau polisi-polisi yang dikedepankan oleh parti-parti politik tersebut yang dibincangkan hangat oleh masyarakat.

Jika sistem institusi sudah diperbaharui, demokrasi tanah air tidak lagi tempang, digandingkan pula dengan dasar-dasar yang progresif, kita dapat berimiginasi Malaysia yang di persada dunia. Justeru, kita akan lihat bahawa politik idea dengan reformasi sistem institusi, mustahak untuk pilihanraya umum yang akan datang.

Dokumentari “Where to invade next?” oleh Micheal Moore telah memberi satu gambaran, dengannya reformasi sistem institusi, dan polisi-polisi yang berpihak kepada rakyat terbanyak bukan segelintir puak. Letaklah sesiapa pun diatas, dengan wujudnya reformasi sistem institusi, rakyat akan ada kuasa untuk menjadi “check and balance”.

Sebagai contoh di UK, di mana demokrasi mereka subur. Kita akan lihat David Cameron menurunkan dirinya apabila rakyat Britain lebih memihak kepada Brexit baru-baru ini. Kita juga dapat lihat protest yang dijalankan oleh Friends of Palestine di jalanraya London terhadap rejim zionis yang menindas rakyat Palestine. Mereka ini tidak terdiri daripada orang Islam sahaja tetapi juga sosialis, liberals, aktivis yang bukan Islam, semua bersatu atas panji menentang kezaliman atas nama kemanusiaan.

Sesiapa pun yang ingin membentuk kerajaan, mereka hendaklah membentuk kerajaan dengan mengamalkan prinsip demokrasi yang telus. Prinsip demokrasi itu adalah perbahasan mengenai pembahagian kuasa yang diwadahkan menjadi satu.

Hakikatnya, semua ini hanya mampu berlaku dengan reformasi sistem institusi dan ini sejajar dengan apa yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan selama ini.

Sudah sampai masanya, kita sebagai rakyat Malaysia tidak lagi merugikan masa dengan wacana-wacana politik ikon. Perbincangaan ini secara tidak langsung akan mengalihkan perhatian kita daripada isu lebih besar iaitu reformasi sistem institusi.

Akhir sekali, tidak boleh dinafikan lagi, jika tayar sesuatu kereta itu haus, maka satu-satunya pilihan yang kita ada adalah untuk menukarkannya dengan tayar baru, yang lebih baik. Demikianlah kerajaan Barisan Nasional yang kini sudah haus dan jika dibiarkan lagi ia hanya akan membahayakan pemandu.

*Shukri Mokhtar adalah Setiausaha Eksekutif Publisiti Sosialis Muda DAP