Berita

DAP serah laporan pemilihan semula, harap ROS puas hati

PUTRAJAYA, 7 DIS: DAP hari ini menyerahkan Laporan Kongres Khas 2017 kepada Ibu Pejabat Pendaftaran (ROS).

Laporan itu disampaikan oleh Setiausaha Organisasi, Anthony Loke Siew Fook kepada wakil ROS Sharifah Salmah di pejabat keselamatan, pintu masuk Kompleks D bangunan berkenaan.

Menurutnya, penyerahan ini dibuat kurang sebulan dari tempoh sebelum 60 hari seperti yang ditetapkan jabatan itu.

Antara dokumen yang telah diserahkan ialah salinan penyata tahunan, penyata kira-kira, minit mesyuarat dan senarai ahli jawatankuasa sebagaimana dikehendaki ROS.

“Hari ini kita serahkan laporan kongres khas sebelum 60 hari diadakan mematuhi peraturan ROS.

“Kita telah selesaikan segala tanggungjawab kita mengadakan pemilihan semula.

“Dengan laporan yang kita hantar ini, maka lengkaplah segala proses yang dikehendaki,” katanya kepada media.

Ahli Parlimen Seremban itu berharap ROS berpuas hati dan dapat mengembalikan status DAP seperti biasa.

“Harap ROS tak ambil masa panjang. Sepatutnya selepas kita hantar laporan ini, ia boleh diproses segera,” kata beliau.

Hadir sama Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Khoo Poay Tiong; Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Eddie Ng Tien Chee dan bekas Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Vincent Wu.

Beliau turut menjawab pertanyaan media berkaitan aduan tiada wakil atau ejen dibenarkan masuk ketika pengiraan dijalankan.

Jelasnya, persoalan yang dibangkitkan itu tidak berasas kerana ia merupakan arahan daripada ROS.

“Tak benarkan siapa-siapa (wakil) masuk adalah arahan ROS sendiri.

“Apa yang kita buat ialah atas arahan ROS. Kita buat apa yang ROS minta,” katanya lagi. -Roketkini.com