Berita

DAPSY serah memorandum tuntut UM batal penggantungan persatuan pelajar

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Sosialis Muda DAP (DAPSY) hari ini menyerahkan memorandum kepada Universiti Malaya (UM) bagi mendesak penggantungan dua persatuan pelajar universiti itu ditarik balik.

Memorandum tersebut, kata Ketua DAPSY Kebangsaan, Wong Kah Woh disokong 35 anggota Parlimen DAP, kecuali anggota Parlimen Raub, Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz yang mengalami masalah kesihatan.

“DAPSY berpendapat bahawa tindakan UM baru-baru ini telah melemahkan lagi kredbiliti UM yang sepatutnya merupakan universiti terunggul di negara kita.

“Maka, DAPSY pada hari ini telah menyerahkan satu memorandum yang disokong 35 Ahli Parlimen DAP supaya pihak universiti menarik balik keputusan yang tidak menghormati semangan kebebasan akademik serta perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Persatu Bahasa Cina UM (PBCUM) minggu lalu mendakwa telah digantung oleh pihak universiti sepanjang semester pertama 2017/2018.

Sebulan sebelum itu, Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) didakwa digantung selama sebulan bermula 17 November hingga 17 Disember 2017 ekoran keengganan UM menerima keputusan mesyuarat agung tahunan (AGM) mereka.

DAPSY juga kata Kah Woh mendesak UM agar menarik balik peringatan daripada Pejabat Naib Canselor melalui email kepada warga kampus khususnya kakitangan universiti tersebut untuk tidak membuat sebarang kenyataan awam.

Turut hadir dalam penyerahan memorandum tersebut adalah ahli-ahli jawatankuasa DAPSY; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Adun Kampung Tungku, Lau Weng San; Adun Nilai, Arul Kumar Jambunathan dan Ahli Jawatankuasa DAP, Ronnie Liew.

Kah Woh yang juga Adun Canning dalam pada itu mengingatkan tanggungjawab pentadbiran universiti untuk menghormati kebebasan bersuara pelajar agar kredibiliti insitusi pengajian tinggi dapat dipelihara.

“Sebagai contoh di United Kingdom, universiti-universiti tidak pernah campur tangan dalam kegiatan dan aktiviti-aktiviti mahasiswa, dan segala urusan kewangan dan aktiviti-aktiviti adalah diselenggara sepenuhnya oleh Persatuan Mahasiswa,” ujarnya. – Roketkini.com.