Rencana

Hujah Annuar Musa, pegawai Rosmah terus disanggah golongan artis

Pemimpin dan tentera siber UMNO nampaknya tidak senang duduk dan semakin tak keruan apabila seorang demi seorang artis popular negara ini bangkit menyuarakan kepayahan yang dihadapi rakyat negara ini.

Mereka kelihatan gusar dan cepat ‘sentap’ – mahu menutup terus mulut artis daripada membicarakan kepayahan yang dihadapi rakyat negara ini.

Tidak lama selepas Ratu Jazz Malaysia, Sheila Majid berkicau di laman twitternya tentang kelembapan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup, tidak tertangguh-tangguh ketua ‘propaganda’ UMNO, Tan Sri Anuar Musa mengecam pandangan artis popular itu.

Annuar seperti cuba merendahkan pemikiran golongan artis menganggap hanya pakar ekonomi sahaja yang boleh bersuara apabila mengeluarkan kenyataan bahawa hujah artis itu kononnya ‘banyak yang salah, itu bukan bidang dia’.

Persoalannya, siapa sebenarnya yang cuba Anuar perbodohkan atau beliau memperbodohkan dirinya sendiri?

Adakah keluhan Sheila mengenai “Makanan mahal, ringgit lemah, kos sara hidup tinggi dan pekerjaan sukar didapati” merupakan realiti yang salah?

Adakah kenyataan “Rakyat Malaysia semakin letih dan marah kerana dihimpit hutang yang bukan kita cipta” itu dongeng semata-mata? Annuar nampaknya mungkin tidak turun padang mendengar keluhan rakyat dan syok sendiri dengan kedudukan politiknya.

Lalu, pegawai Rosmah pun bersuara

Luahan twitter Sheila itu juga turut dikecam Pegawai Khas isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor iaitu Datuk Rizal Mansor.

Rizal malah secara semberono ‘menasihatkan’ Sheila Majid supaya tidak menjadi alat propaganda pembangkang.

Keadaan ini nampaknya jauh terpesong dari isu sebenarnya. Bagaimana mungkin beliau selaku seorang pegawai khas VVIP berfikiran sedemikian dengan mengaitkan keluhan dan aduan terhadap kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah rakyat sebagai pro-pembangkang. Ini amat memalukan!

Solidariti artis suarakan keluhan rakyat

Sheila bagaimana pun tidak keseorangan. Nampaknya, rakan-rakan artis dan industri lebih memahami daripada pemimpin-pemimpin parti pemerintah.

Pengarah dan pelakon, Ahmad Idham berkata seseorang artis yang bersuara mengenai isu semasa di media sosial tidak patut dikecam dan diberi layanan sama rata.

Apa yang mendukacitakan katanya ialah sikap tentera siber politik yang gemar mencari kesalahan berbanding penyelesaian.

“Tidak pernah lagi ada artis yang yang membantai kerajaan setahu saya. Mereka hanya menyuarakan pandangan dan apa yang boleh dibuat adalah cari dan cuba selesaikan persoalan diberikan mereka itu saja.

“Tetapi datang kecaman daripada pejuang siber politik yang menidakkan hak mereka untuk bersuara. Ini adalah cara menangani isu dengan level mentaliti rendah. Saya benar-benar kecewa,” katanya kepada Malaysiakini.

Terbaru, penyanyi dan pelakon Adibah Noor turut menzahirkan kekecewaannya terhadap kecaman yang diterima Sheila Majid.

Adibah berkata kecaman terhadap artis yang mbersuara seorlah-olah tidak wujud  hak bersuara.

“Bila artis bersuara, mulalah depa guna template yang sama untuk hentam artis itu cukup-cukup.

“Artis itu akan dilabel pro-pembangkang, ‘bukan bidang kau maka jangan nak pandai-pandai’, dah sendu maka nak cari publisiti murahan,” katanya di Twitter hari ini. – Roketkini.com