Berita

Masalah kerakyatan serius, masa depan anak tempatan Sabah jadi tanda tanya

Isu rakyat tanpa kerakyatan (stateless) bukan perkara baru di negara ini dan telah menyebabkan individu terbabit sukar mendapatkan pembelaan dan hak sewajarnya di sisi undang-undang.

Selain dinafikan hak mendapatkan pendidikan yang sempurna, mereka juga berdepan dengan masalah untuk mendapatkan pekerjaan, caruman keselamatan sosial, kesihatan dan sebagainya.

Keadaan ini sekaligus mampu memberi kesan sosial terhadap masyarakat negara ini.

Jun lalu Roketkini melaporkan hampir 300,000 kanak-kanak tidak bernegara gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan kerakyataan negara ini.

Lebih menyedihkan, kerajaan seolah-olah kurang berperanan menyelesaikan perkara itu secara tuntas meski pun telah dibangkitkan berulang kali oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang dalam persidangan Dewan Rakyat.

Bagi mengupas persoalan ini, Roketkini menghubungi Penolong Setiausaha DAP Sabah, Tan Lee Fatt yang sering mendapat aduan dan mengendalikan permohonan invidividu-individu terbabit ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, antara kes yang sering diadu melibatkan kes anak-anak yang gagal mendapatkan status kerakyatan.

“Isu kewarganegaraan ini sememangnya rumit. Apatah lagi jika Kementerian Dalam Negeri telah memaklumkan bahawa permohonan taraf kewarganegaraan telah dibekukan akibat isu Projek IC di Sabah yang telah disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja.

“Selain pendatang tanpa izin yang menetap secara tidak sah, banyak kes juga berlaku disebabkan perkahwinan ibu bapa yang secara tidak sah (tidak berdaftar) melibatkan salah seorang daripada bukan warganegara Malaysia,” kata Penyelaras DAP Sepanggar itu.

Akibatnya, kanak-kanak terbabit sukar untuk mendaftar di sekolah dan mendapatkan pekerjaan meskipun ada keputusan peperiksaan yang baik.

“Bagi yang sempat ambil SPM atau STPM dan keputusannya baik, mereka tidak dapat teruskan pengajian kerana tidak ada dokumen sah. MyKad pun tiada apa lagi passport,” katanya.

Selain itu, terdapat juga banyak kes di mana Orang Asal yang tinggal di pedalaman gagal memperoleh kerakyatan.

Selain itu antara masalah yang turut menyumbang kepada isu ini ialah lambat mendaftarakan kelahiran, lambat mendaftarkan perkahwinan meski pun anak memiliki sijil kelahiran, anak dijaga oleh pihak ketiga tanpa sijil kelahiran, perpisahan antara ibu dan ayah dan sebagainya.

“Saya berharap, dalam perkara ini kita perlu melihat dari sudut kemanusiaan. Apapun masalah yang berlaku kepada anak itu, kerajaan perlu mempermudahkan kerakyatan kepada mereka.

“Tanpa dokumen yang sah, masa depan anak-anak ini akan gelap dan akhirnya memberi kesan langsung kepada masyarakat dan negara,” katanya lagi. – Roketkini.com