Berita

Pemberian subsidi tambang bas sekolah dapat ringankan beban golongan kurang berkemampuan

DAP hari ini mencadangkan agar kerajaan memberikan subsidi kepada golongan kurang berkemampuan bagi membantu mereka menampung kenaikan harga tambang bas sekolah yang dijangka berlaku awal tahun hadapan.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, V. Sivakumar berkata, pemberian subsidi secara bersasar ini dapat membantu meringankan beban kos sara hidup yang ditanggung golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Saya mencadangkan supaya kerajaan menanggung kos peningkatan tambang bas sekolah ini dengan memberi subsidi.

“Setiap murid yang menggunakan khidmat bas sekolah perlu diberi subsidi sekurang-kurangnya RM 20 seorang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pengusaha bas sekolah dijangka menaikkan harga tambang bulanan antara RM10 hingga RM20 bermula Januari 2018, ketika sesi persekolahan baru dibuka.

Ia berikutan kenaikan harga petrol dan diesel, kos tinggi untuk mendapatkan barangan gantian ekoran penurunan nilai ringgit, selain pelbagai caj dan bayaran yang dikenakan kerajaan kepada pengusaha bas sekolah yang sekali gus meningkatkan kos operasi, tambahnya.

“Pada masa ini tambang bas sekolah di kawasan bandar adalah di antara RM80 hingga RM120 bagi seorang murid. Di kawasan luar bandar pula tambang bas sekolah adalah dalam lingkungan RM60 hingga RM80 bagi seorang murid.

“Tambang bas sekolah ini adalah besar bagi golongan miskin. Jika 3 orang anak menaiki bas sekolah, belanja yang perlu ditanggung oleh ibubapa adalah lebih kurang RM240 hingga RM 300 sebulan,” ujarnya.

Presiden Gabungan Persatuan Peng­usaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd. Rofik Mohd. Yusof seperti dilaporkan media pada Selasa berkata peningkatan harga tambang bas sekolah tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan pelbagai kos yang terpaksa ditanggung pengusaha.

“Jadi kami tidak menolak kemungkinan akan ada pengusaha bas sekolah berbuat demikian untuk membolehkan mereka terus bernafas dan terus memberi perkhidmatan.

“Dijangka berlaku kenaikan kadar tambang sebanyak RM10 di luar bandar manakala sebanyak RM20 di kawasan bandar,” katanya. – Roketkini.com