Rencana

Anak muda pemimpin masa depan yang wajib dilatih hari ini

“Mesej tersirat yang disampaikan oleh masyarakat kepada anak muda adalah bahawa anak muda tidak diperlukan, bahawa masyarakat akan berfungsi dengan normal sehingga mereka – pada masa depan – mengambil alih pucuk pimpinan. Pada hakikatnya, masyarakat dewasa ini tidak berfungsi dengan baik… kita memerlukan segala tenaga kerja, imaginasi dan bakat anak muda untuk menyelesaikan masalah masyarakat. Tidak munasabah jika masyarakat masih berdegil untuk menyelesaikan masalah tanpa partisipasi penuh anak muda.” – Alvin Toffler, penulis

Pertandingan menawan hati dan undi anak muda sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 semakin hangat. Pihak kerajaan dan pembangkang giat berusaha menjadi “cool” melalui acara townhall seperti TN50 dan “What Say Youth” anjuran Pakatan Harapan.  

Memang wajar agenda anak muda dikedepankan. Namun, saya masih skeptikal. Sebelum pilihan raya, agenda anak muda dititikberatkan; selepas pilihan raya, diabaikan pula. Sembang pilihan raya akan kekal sebagai sembang sahaja, jika tiada langkah kukuh untuk memastikan anak muda mempunyai suara dalam hal anak muda.

Tidak puas mendengar, anak muda pun mahu didengari

Tahun 2017 melihat arus anti-establishment yang banyak dipengaruhi anak muda. Idea dan tawaran Bernie Sanders dan Jeremy Corbyn mendapat sokongan padu dan memberi harapan kepada anak muda yang sedang bergelut dengan beban hutang pendidikan tinggi dan masalah pengangguran. Pemimpin muda seperti Emmanuel Macron, Sebastian Kurz dan Jacinda Adern juga muncul sambil menggegar stereotaip umur dan status sosial.

Di Malaysia, 3.7 juta anak muda masih belum mendaftar sebagai pengundi. Politik kita seperti ketandusan wajah dan idea baru. Namun, kita harus mengaku bahawa tidak realistik kita idamkan Justin Trudeau versi Malaysia sedangkan anak muda kita diperlekehkan.

Dari kecil lagi, anak muda disuruh diam dan menerima apa sahaja yang dikata oleh orang dewasa. Apabila kami bersuara, kami ditahan di bawah undang-undang seperti Akta Universiti Kolej dan Universiti (AUKU). Apabila tindakan undang-undang gagal memalapkan semangat anak muda, mereka cuba mengalihkan perhatian kami dengan menggunakan keselesaan kehidupan sebagai seorang profesional. Kata mereka, belajar dulu, berpolitik kemudian.

Hari ini, kami diberitahu bahawa kerajaan dan pembangkang tiada bezanya – kononnya 2 kali 5, 5 kali 2. Apa gunanya ubah kerajaan? Buatlah kerja amal – misalnya, sertai soup kitchen dan memberi makanan kepada gelandangan malam ini juga! Hasilnya segera: si gelandangan kenyang, ego pun kenyang. Tak perlu duduk dalam mesyuarat yang panjang dan membosankan, debat di Dewan Rakyat, atau mengundi.  

Inilah mesej tersirat: tinggalkan politik kepada orang dewasa. Mereka lebih mengetahui.

Maka, anak muda Malaysia berpindah ke dunia sosmed. Namun, kami masih perlu mengutarakan harapan dan idea kami di ruang awam dan fizikal, terutamanya dalam isu berkaitan dengan anak muda. Ini bakal menghantar mesej kepada masyarakat: anak muda tidak puas menjadi pendengar dan pengangguk kepala semata-mata.

Membuka ruang untuk “generasi strawberi”?

Sempena Hari Kanak-kanak Sedunia, Unicef telah membuat tinjauan global yang melibatkan 11,733 kanak-kanak dan remaja. Peserta dari Malaysia amat yakin bahawa dunia akan bertambah baik sekiranya orang dewasa mengambil kira pendapat mereka.  Namun, mereka kurang yakin bahawa suara mereka akan didengar.

Selain itu, hanya 47% percaya bahawa pemimpin masa kini berupaya membuat keputusan yang baik.

Anak muda ialah pemimpin masa depan yang wajib dilatih hari ini. Langkah pertama adalah untuk memberi ruang untuk anak muda menyuarakan pendapat, terutamanya berkenaan isu anak muda.

Semasa forum anjuran pejabat saya yang bertajuk “Bolehkah golongan millennial selamatkan Malaysia?”, kami meluangkan lebih daripada separuh masa forum untuk anak muda menyuarakan pendapat dan bertanya soalan kepada para panelis termasuk saya sendiri. Tidak mudah untuk menjawab, kerana anak muda lebih kritikal akan kerajaan dan ahli politik.

Siri tayangan filem dan dialog kami yang bertajuk #Wayang tiada penceramah atau pensyarah, hanya seorang fasilitator jemputan supaya para hadirin digalakkan bersuara. Anak-anak muda ini tidak mengikuti politik, malah ada yang belum daftar undi kerana lesu dengan perbalahan politik. Namun, mereka mempunyai pandangan dan pendirian yang bernas mengenai isu-isu semasa.

Apakah yang kekurangan dalam konteks dialog kebangsaan? Ruang untuk anak muda bersuara, iaitu perwakilan anak muda.

Di manakah anak muda Malaysia dalam masa depan negara?

Secara amnya, anak muda dari pelbagai jenis latar belakang sedang mengalami masalah yang sama yang disebabkan kegagalan sistem dan urus tadbir kerajaan. Jika anak muda mampu bersatu, kita boleh membuat keputusan bersama untuk menamatkan idea dan budaya politik yang telah luput. Misalnya, cukuplah mainkan retorik kaum dan agama.

Tidak cukup jika kita sebagai anak muda hanya tahu mengecam ahli politik tua sebagai tidak relevan. Kita juga harus mengedepankan visi kita untuk negara tercinta. Apakah Malaysia yang kita mahu lihat dalam 10 tahun atau 30 tahun kelak?

Penting untuk kita menjawab persoalan-persoalan ini. Oleh itu, penting juga supaya masyarakat memberi anak muda ruang dan sokongan yang mencukupi untuk menyuarakan pendapat mereka. Dengan ini, dapatlah kita dapat memupuk pemimpin yang mampu menangani dan mencari penyelesaian kepada persoalan ini.  – Roketkini.com

*Lim Yi Wei adalah setiausaha politik Tony Pua, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, dan juga Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).