Berita

Mengapa kerajaan tidak ikut nasihat Bank Negara? – Tony Pua

Meskipun Bank Negara telah mencadangkan beberapa langkah bagi menangani masalah pasaran hartanah tidak terjual negara ini, lain pula sikap yang ditunjukkan kerajaan UMNO – Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, kerajaan memberi kuasa kepada menteri untuk meluluskan projek, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam kenyataan hari ini.

“Secara asasnya, menteri ada kuasa budi bicara mereka sepenuhnya bagi meluluskan projek pemaju yang pandai ‘mengambil hati’.

“Ini akan memberi kesan serius kepada pelaburan jangka masa dekat mahupun panjang sama ada oleh pelabur asing ataupun pelabur tempatan,” katanya.

Beliau turut kesal dengan pusingan-U yang dibuat selepas kerajaan mengumumkan pembekuan projek-projek mewah melebihi RM1 juta seunit kononnya sebagai langkah menyelesaikan lebihan bekalan.

“Perkara ini telah saya bantah sejak 17 Nover lepas kerana ini tidak akan selesaikan masalah seperti yang didedahkan oleh Bank Negara,” kata Tony.

Menurut Bank Negara, lambakan rumah yang tidak terjual di negara ini berlaku akibat ketidakmampuan rakyat apabila nilai sesebuah hartanah mencecah RM250,000 dan ke atas.

Justeru, bank itu telah membuat cadangan bagi menangani masalah tersebut antaralain ialah dengan meningkatkan pasaran sewa, meningkatkan kecekapan dalam penyediaan rumah mampu milik, penambahbaikan pengurusan tawaran hartanah komersil dan menyambung semula bangunan tinggal. – Roketkini.com