Berita

Mengapa Najib perlekeh keprihatinan Guan Eng kepada rakyat?

Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak di perhimpunan agung parti itu baru-baru ini dipenuhi dengan maki hamun dan cercaan terhadap pembangkang.

Antara ucapan paling keji adalah ketika Najib merendah-rendahkan rayuan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang bekerja keras sewaktu bah melanda negeri itu pada November.

Perdana Menteri itu mendakwa Guan Eng hampir menangis sewaktu menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk memohon bantuan kerajaan pusat.

Menzahirkan rasa marah dengan ucapan itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menyoal apa masalahnya dengan tangisan Guan Eng.

So what kalau Ketua Menteri hampir menangis ketika meminta bantuan tersebut?

“Bukankah ini menunjukkan keprihatinan beliau terhadap nasib rakyat Pulau Pinang yang ditimpa bencana?” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengingatkan Najib bahawa bencana bukanlah satu isu yang harus dipolitikkan dan dipermain-mainkan.

“Sehingga hari ini, rakyat Pulau Pinang masih bergelut untuk meneruskan hidup akibat kerosakan harta benda malah ada daripada mereka menghadapi masalah kewangan

“Penghinaan Najib itu bukan sahaja dituju pada Ketua Menteri, tetapi kepada seluruh rakyat Pulau Pinang,” ujarnya.

Malah, kata Rampakal, kata-kata tidak sensitif Najib itu juga boleh membangkitkan spekulasi mengenai keikhlasannya dan kerajaan pusat dalam membantu rakyat Pulau Pinang.

“Ramai rakyat Pulau Pinang yang menyambut baik aksi berpeluk Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Menteri dalam sekeping gambar yang tular.

“Tetapi, tidak pernah terfikir mereka yang kesusahan mereka digunakan sebagai bahan dalam majlis UMNO untuk kepentingan politik,” ujarnya. – Roketkini.com