Berita

BN yang gagal urus ekonomi, jangan salahkan Tuhan

Memang mudah menggunakan hadith Nabi untuk menyelamatkan diri daripada dipersalahkan kerana gagal menguruskan ekonomi.

Itulah yang telah dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO Sabtu lalu.

Hamzah dilaporkan berkata bahawa isu harga barang naik telah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W. lagi, sambil memetik sepotong hadith yang menyebut bahawa Allah yang menetapkan harga barang.

Tafsiran Hamzah terhadap hadith tersebut ternyata mengundang reaksi negatif daripada rakyat Malaysia.

“Seorang menteri seharusnya memberi hujah yang lebih baik, conohnya dengan menggunakan rasional dan statistik untuk menyokong dakwaannya.

“Pelaksaan cukai GST, selain pengurangan subsidi minyak, ekonomi dunia yang lembab serta kejatuhan nilai ringgit yang meningkatkan lagi kos sara hidup,” ujar Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP, Syerleena Rashid.

Dalam kenyataannya, Syerleena memberitahu bahawa rakyat Malaysia juga tidak dibayar gaji setimpal dan mencukupi, justeru melemahkan kuasa membeli rakyat negara ini.

 

“Fenomena ini memberi kesan buruk kepada keluarga dengan punca pendapat tunggal. Menteri sepatutnya menyediakan dasar-dasar yang lebih baik untuk mengurangkan beban yang ditanggung keluarga-keluarga ini,” tegas beliau.

“Ini membuktikan kegagalan Barisan Nasional mengetuai kerajaan persekutuan.”

Katanya lagi, Menteri seperti Hamzah cukup suka menggunakan gambaran agama untuk memecahbelahkan rakyat.

“Kita memerlukan pemimpin politik yang tidak mengheret Tuhan dan agama secara membuta tuli ke dalam wacana politik,” tegasnya lagi.

“Malaysia akan terus berhadapan kebekuan sosio-ekonomi sekiranya kita terus membiarkan mereka yang bongkak, berfikiran cetek dan tidak berpengetahuan kekal berkuasa,” tambah beliau yang juga Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang. – Roketkini.com