Berita

Ketua Pengarah JASA dibayar lebih tinggi berbanding menteri hanya untuk serang DAP

Serangan bertubi-tubi UMNO terhadap DAP sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2017 dengan pelbagai dongeng dan sentimen kaum-agama jelas menunjukkan parti itu terpaksa ‘bergantung’ kepada DAP untuk meneruskan hayat politiknya.

UMNO terpaksa mengitar semula ‘cerita basi’ dan fakta-fakta palsu ketinggalan zaman seperti mengaitkan DAP kononnya sebagai sebuah parti anti-Melayu, anti-Islam.

Ini termasuk mengulang skrip lapuk mereka mendakwa bekas Tun Dr Mahathir yang pernah memimpin Malaysia selama 22 tahun sebagai tunggangan DAP.

Propaganda jahat memburuk-burukkan DAP itu semakin rancak apabila agensi kerajaan yang dibiayai dana awam seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) digunakan untuk memburuk-burukkan pembangkang.

Peranan JASA sebagai jentera kempen UMNO-BN semakin jelas apabila jawapan Parlimen bulan lalu mendedahkan Ketua Pengarah JASA, Datuk Puad Zarkashi mendapat bayaran yang tinggi berbanding gaji menteri.

“Ketua Pengarah JASA dibayar lebih tinggi dari (gaji) menteri kerana beliau mungkin seseorang yang tidak (perlu) menghormati kebenaran dan berada di barisan hadapan dalam kempen pembohohongan mempertahankan Najib dan ‘kleptokrasi global’,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Menurutnya, tindak-tanduk Puad mempertahankan ‘kebohongan’ dan ‘kleptokrasi global’ itu jelas dilihat daripada maklumbalasnya mempertahankan segala kritikan terhadap ucapan penggulungan Najib Sabtu lalu.

“Saya boleh bersetuju dengan Puad yang saya memang kecewa dengan kedua-dua ucapan Najib (pembukaan dan penutup),” kata Kit Siang.

Tiga sebab utama kekecewaannya dengan ucapan Najib dapat dilihat apabila perhimpunan agung UMNO itu sarat dengan fitnah, pembohongan dan berita palsu termasuk dakwaan jahat menuduhnya mahu merebut jawatan Perdana Menteri selain anti Melayu dan anti-Islam.

Namun, apa yang lebih mengejutkan ialah sikap membisu pemimpin-pemimpin UMNO terhadap skandal terbesar antarabangsa pengubahan wang haram 1MDB bernilai puluhan bilion ringgit sehingga menjatuhkan imej Malaysia sebagai ‘negara kleptokrasi global’ yang memalukan.

“Selain retorik Najib mahukan UMNO memerintah seribu tahun lagi, beliau gagal memberi jaminan untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara demokratik yang normal seperti Jepun, India, Korea Selatan, Filipina dan Indonesia yang menjunjung prinsip bahawa rakyat-pengundi merupakan pihak yang terakhir menentukan siapakah parti pemerintah seterusnya,” katanya lagi.

Nampaknya, PAU2017 berakhir dengan pengulangan serangan besar-besaran ke atas DAP dan HARAPAN dengan melupakan agenda memperkukuh ekonomi negara dan penyelewengan puluhan bilion ringgit akibat skandal 1MDB. – Roketkini.com