Berita

MAVCOM sepatutnya lindungi kepentingan penumpang, bukan tambah beban mereka

Bercuti di luar negara seperti ke London, Bali, Bangkok dan seumpamanya mungkin lebih murah berbanding bercuti ke wilayah-wilayah Borneo seperti Sabah dan Sarawak khususnya semasa musim perayaan dan cuti sekolah.

Persoalannya, jika lokasi percutian boleh dipilih, bagaimana pula dengan mereka yang perlu berulang alik atau yang harus pulang ke kampung halaman bertemu keluarga ketika sambutan Pesta Gawai-Kaamatan, Krismas, Hari Raya dan sebagainya?

Menurut Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin, kadar tambang penerbangan di antara wilayah Malaysia Timur dan Semenanjung itu tidak terkawal apabila tibanya musim perayaan.

Bagaimanapun rakyat di Sabah dan Sarawak tidak memiliki pilihan lain dan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk ke Semenanjung atau sebaliknya.

“Bagi orang Sabah dan Sarawak, kita hanya ada tiga pilihan iaitu Air Asia, MAS mahupun Malindo,” katanya dilapor media baru-baru ini membidas kenaikan harga melampau sehingga membebankan pengguna.

Sindirnya, slogan “Now everyone can fly” atau “Kini, semua boleh terbang” misalnya yang sering diwar-warkan syarikat penerbangan ‘tambang murah’ kini tidak lagi boleh dibanggakan.

“Sejujurnya, saya tak rasa mereka boleh lagi bangga dengan slogan itu kerana tambang yang mahal khususnya semasa waktu puncak, nampaknya hanya yang kaya boleh terbang.

“Kami tiada pilihan. Untuk ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Johor dari Kuching, Kota Kinabalu atau Tawau hanya ada dua atau tiga pilihan pesawat. Mereka kenakan tambang yang tidak lagi murah,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya terpaksa membayar tambang sehingga RM1,000 untuk pulang ke Tawau dari Kuala Lumpur atas urusan kecemasan melalui sebuah pesawat ‘tambang murah’.

Beliau juga mendakwa penerbangan akhir tahun juga menunjukkan kadar tambang pesawat itu dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Tawau atau Sandakan telahpun melonjak kepada lebih RM1,000.

Begitu juga dengan tambang pesawat di musim perayaan Tahun Baru Cina pada Februari 2018 yang didakwanya mencecah RM1,500 antara penerbangan menuju atau dari Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Ekoran itu beliau menggesa supaya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) memainkan peranan membantu pengguna bagi mendapatkan kadar tambang yang berpatutan dan bukannya dengan membantu pihak berkuasa menaikkan kadar caj penumpang di KLIA2 sehingga membebankan pengguna.

“Demi meringankan beban, mereka (MAVCOM) boleh mencari jalan supaya syarikat penerbangan negara ini memberi diskaun atau menyediakan kad diskaun khusus kepada golongan pelajar dan warga emas,” katanya lagi.

Persoalan sama turut dibangkitkan DAPSY hari ini yang mendesak MAVCOM memainkan peranannya melindungi kepentingan pengguna, dan bukan sebaliknya menambah beban yang ditanggung.

Setiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP, Shakir Ameer, berkata, menambah caj penumpang tidak langsung melindungi penumpang, malah malah membebankan penumpang yang terpaksa menggunakan penerbangan tambang murah, dengan mengenakan bayaran yang lebih tinggi.

“MAVCOM merancang untuk mengenakan penumpang yang terbang dari Malaysia levi sebanyak RM1, bermula Januari tahun hadapan.

“Ini katanya adalah usaha suruhanjaya itu untuk membiayai operasinya setelah pembiayaan kerajaan dijadual berhenti pada 2018,” ujar Shakir dalam kenyataan.

“Dengan menganggarkan jumlah penumpang yang terbang keluar dari Malaysia pada 2016, langkah ini dapat membawa hasil berjumlah RM21.81 juta kepada MAVCOM tahun hadapan. Apa yang akan dibuat dengan dana sebanyak ini? Adakah pencapaian sejak ia ditubuhkan pada 2015 mewajarkan levi ini?” soal beliau.

Melihat kepada standard perkhidmatan ketika ini, Shakir tidak begitu berpuas hati.

“Penerbangan semakin kerap lewat daripada jadual, pengurusan bagasi juga lembab, manakala pengguna dikenakan caj tersembunyi ketika membeli tiket penerbangan.” – Roketkini.com