Berita

Berita Harian berdepan tindakan saman, didakwa fitnah Exco P. Pinang

Datuk Abdul Malik Kassim memberi tempoh 24 jam kepada Berita Harian (BH) dan wartawannya, Attirmidzie Rahman untuk memohon maaf dan menarik balik dua laporannya yang didakwa menggunakan kenyataan yang direka untuk tujuan memfitnah beliau.

Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu berkata, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Attirmidzie dan majikannya jika tuntutannya itu tidak ditunaikan dalam tempoh tersebut.

Beliau merujuk artikel bertajuk ‘Banjir, kerajaan Pulau Pinang akui kesilapan’ yang disiarkan BH Online pada 12 Disember 2017 yang kemudian muncul dalam edisi cetak akhbar tersebut pada hari berikutnya dengan tajuk ‘DAP akui banjir jadi pengajaran ubah kesilapan’.

Menurut Abdul Malik, BH tetap meneruskan penyiaran artikel tersebut dalam versi cetak walaupun dimaklumkan secara bertulis oleh beliau mengenai kesilapan mereka.

“Tindakan Berita Harian dan Attirmidzie sememangnya berniat jahat dan tidak bertanggungjawab,” ujarnya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Perdagangan Domestik dan Hal Ehwal Pengguna.

Beliau berkata, rakaman penuh ucapannya semasa majlis penyerahan cek bantuan bantuan banjir kepada kerajaan Kelantan dan sidang media selepas itu di Kota Baharu pada 12 Disember jelas membuktikan bahawa isi kandungan artikel itu hanyalah rekaan semata-mata.

“Kandungan artikel-artikel tersebut adalah rekaan semata-mata oleh pihak Berita Harian dan Attirmidzie, dan jauh berbeza daripada intipati kenyataan saya kepada pihak media,” tegasnya yang juga Adun Batu Maung. – Roketkini.com