Berita

Susu tiruan: Mengapa tunggu berbulan-bulan baru bertindak?

Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) membidas tindakan lembab Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam menangani aduan orang ramai berhubung susu rumusan tiruan yang dijual di pasaran.

Setiausaha Wanita HARAPAN, Teo Nie Ching berkata, kurangnya tindakan proaktif kementerian terbabit dalam menangani isu itu akan mengakibatkan ribuan bayi terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan.

Malah, katanya, kementerian berkenaan masih belum mengarahkan supaya penjualan susu rumusan tiruan terbabit ditarik balik walaupun aduan telah dibuat orang ramai sejak Ogos lepas.

“Buat masa ini, selepas melakukan pemantauan selama empat bulan, kementerian masih menunggu hasil uji kaji susu yang dirampas di kedai ubatan dan serbaneka di Johor Baharu pada Khamis lepas sebelum memutuskan tindakan seterusnya yang akan diambil.

“Walaupun difahami bahawa uji kaji berkenaan memerlukan masa untuk dijalankan, namun mengapa KPDNKK menunggu sehingga 7 Disember untuk melakukan serbuan? Mengapa tidak buat uji kaji waktu aduan dibuat pada Ogos?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

KPDNKK Johor dilaporkan pada 10 Disember lalu menyerbu lima kedai di sekitar Johor Baharu dan berjaya merampas sebanyak 210 kotak susu rumusan berjenama yang disyaki tiruan bernilai RM42,000.

Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok berkata, serbuan itu adalah hasil daripada pemantauan dan risikan sejak bulan lepas selepas menerima aduan seorang bayi mengalami muntah ekoran meminum susu berkenaan.

Dalam pada itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut mempersoalkan mengapa Kementerian Kesihatan (MOH) tidak mengambil sebarang tindakan meskipun mempunyai kuasa di bawah Akta Makanan 1983 untuk berbuat demikian.

“Apa yang MOH lakukan sejak aduan seorang bayi muntah teruk selepas meminum susu tiruan berkenaan pada Ogos?” soalnya.

Tambahnya, sehingga kini orang ramai masih tidak mengetahui kandungan susu tiruan terbabit dan kesan jangka masa panjang yang bakal dialami bayi yang meminum produk berkenaan.

“Cara KPDNKK dan MOH menangani isu susu rumusan tiruan ini menunjukkan mereka tidak sensitif terhadap keselamatan bayi yang mudah terdedah dengan pelbagai risiko,” ujarnya yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP. – Roketkini.com