KUALA LUMPUR, 15 DIS: Orang ramai berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di sini petang tadi bagi membantah keputusan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Himpunan Intifada Baitulmaqdis, Keadilan Untuk Palestin yang dianjurkan Pakatan Harapan (HARAPAN) itu turut dihadiri pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin persatuan pelajar.
Laungan “Allahuakbar”, “Hidup Palestin” dan “Hancur Israel” bergema sebagai tanda protes terhadap keputusan Trump yang dianggap pelbagai pihak sebagai mencabuli hak rakyat Palestin sehingga membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Turut dinaikkan sepanduk berupa karikatur Trump dengan kata-kata mengecam pemimpin tersebut serta sekutu kuatnya, Israel.
Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahatir Mohamad dalam ucapannya menyifatkan tindakan Trump itu tidak ubah seperti sikap pembuli di sekolah.
“Kita tak suka pembuli. (Ini adalah) Pembulian antarabangsa.
“Amerika hanya tahu membuli orang yang lemah. Mengapa tak ambil tindakan terhadap Cina? baru lah padan.
“Ini tidak pergi buli orang yang lemah. Bukan jad hero, tapi jadi penyangak,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut sempat menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kononnya sangat akrab dan bersahabat baik dengan Trump.
“Kalau dah kawan baik dengan Donald Trump, mestilah perangai pun macam dia,” ujar bekas Perdana Menteri itu.
Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, isu Baitulmaqdis tidak harus dilihat sebagai masalah umat Islam sahaja, sebaliknya sebagai masalah sejagat yang merentas kaum, agama dan negara.
“Kita mesti kecam tindakan Donald Trump. Ini adalah isu sejagat, isu kemanusiaan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kluang.
Sementara itu Timbalan Pengerusi HARAPAN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa agar kerajaan Malaysia menarik balik pelaburan berbilion US dolar di Amerika.
“Marilah kita berdoa Baitulmaqdis dibebaskan. Kerajaan Malaysia mesti bertindak lebih tegas! Tuntut kerajaan tarik balik pelaburan di Amerika!” tegasnya. – Roketkini.com