Berita

Orang muda kecewa dengan kegagalan dasar-dasar ekonomi UMNO

Kekecewaan golongan muda terhadap parti politik pemerintah dan pemimpin negara ini bukan sekadar persepsi kosong namun mempunyai asas yang kuat.  

Sudah tentu, kekecewaan itu tidak akan hilang hanya dengan janji-janji manis menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagaimana yang galak ditabur pemimpin-pemimpin parti itu dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017 baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam ucapannya telah berjanji kononnya parti tersebut akan mengambil inisiatif dan tindakan tertentu demi menjamin masa depan golongan muda negara ini.

Bagaimana pun, adakah janji manis Khairy itu akan menjadi kenyataan atau sekadar berakhir selepas pilihan raya?

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, dasar-dasar kerajaan terhadap golongan muda amat mengecewakan.

Ia katanya telah menyebabkan jutaan anak-anak muda golongan terpelajar negara ini telah berhijrah ke luar negara demi mencari penghidupan dan masa depan yang lebih baik.

“UMNO nampaknya tidak berjaya memenuhi aspirasi golongan muda negara ini.

“Sebagai parti pemerintah, UMNO telah gagal melaksanakan dasar-dasar bagi menangani kepayahan dan beban ekonomi yang terpaksa dihadapi golongan itu,” katanya dalam kenyataan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang itu berkata, terdapat empat perkara utama yang telah gagal diselesaikan oleh kerajaan.

“Anak muda masa ini terpaksa menangung hutang yang banyak. Tanpa pendidikan yang berpatutan dan sistem pengangkutan yang baik, anak muda terpaksa menanggung hutang kenderaan, PTPTN yang telah menyebabkan pendapatan boleh guna yang rendah.

“Selain itu, pendapat golongan muda juga nampaknya tidak banyak berubah – masih rendah,” kata beliau.

Katanya lagi, separuh daripada golongan muda yang bekerja berusia antara 18 hingga 35 tahun hanya memperoleh pendapatan RM1,600 dan tidak mampu untuk menabung.

Apa yang lebih membimbangkan, pendapatan sekitar 76 peratus daripada kalangan mereka tidak dapat bertahan dalam tempoh sebulan.

Selain itu, Jin Zhe berkata kenaikan kos sara hidup juga telah memberi kesan terhadap ‘poket’ anak muda dan lebih buruk setelah cukai GST dilaksanakan.

“Berdasarkan satu kajian, lebih 80 peratus golongan muda negara ini berasa tidak gembira dengan situasi ekonomi semasa terutamanya melibatkan kenaikan kos sara hidup.

“Ini jelas menunjukkan orang muda sedang berdepan dengan kesukaran,” katanya lagi.

Kurangnya peluang pekerjaan juga merupakan petunjuk jelas dasar-dasar ekonomi dan pasaran kerja  kerajaan yang ditadbir Barisan Nasional (BN) telah gagal.

“Merujuk kepada laporan Bank Negara 2016, kadar pengangguran golongan muda di negara ini dicatatkan sebanyak 10 peratus manakala 23 peratus graduan menganggur,” katanya lagi.

Dasar-dasar BN yang gagal ini katanya berbeza dengan komitmen yang ditunjukkan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mahu menyediakan 100,000 peluang pekerjaan di seluruh negara melalui reformasi dasar-dasar fiskal negara. – Roketkini.com