Berita

Setelah berjaya pengaruhi PAS, UMNO perbudakkan MCA pula

Nampaknya Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sudah menjadi jurucakap bagi gerombolan Najib-Hadi apabila mengulangi dakyah UMNO selama ini kononnya Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan menang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menurut Liow, negara akan terjejas sekiranya Kit Siang menjadi perdana menteri dan menuduh pemimpin veteran DAP itu sebagai ahli politik yang tidak berprinsip.

“Hanya beliau yang tahu jika beliau ada cita-cita menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri. Bagi saya beliau adalah ahli politik yang tidak boleh dipercayai dan akan menjejaskan keharmonian antara kaum,” kata Liow selepas menghadiri acara komuniti di Paloh di Kluang Sabtu lalu.

Di sebalik tuduhan jahat itu, persoalannya saat ini ialah mengapa Liow merendahkan diri sendiri dengan menjadi budak suruhan Najib dan Hadi soal Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong.

Katanya, selepas PRU 2013 yang menyaksikan BN menang dengan hanya 47 peratus undi popular, Najib mengetahui bahawa beliau tidak akan mampu menang PRU seterusnya jika bertembung dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim merebut jawatan perdana menteri.

“Bekas pakar strategi UMNO baru-baru ini berkongsi dengan saya bahawa pada 2013, unit risikan (Cawangan Khas, Unit Risikan Tentera, JASA dan yang lain) memberitahu Najib boleh menang dengan lebih 60 peratus undi popular kerana populariti peribadinya di kalangan pengundi agak tinggi, dan beliau boleh memberi kemenangan yang selesa kepada UMNO dan BN.

“Menurut pakar strategi itu yang berada berhampiran Najib pada malam pilihan raya, apabila banyak hal tidak menyebelahi BN, perdana menteri dapat dilihat menggeletar dan terkejut dengan keputusan pada malam itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jadi, untuk mengubah situasi itu katanya, Najib perlu melakukan sesuatu yang dramatic dengan bantuan Yusuf Kala yang belum lagi menjawat jawatan Naib Presiden Indonesia ketika itu.

“Najib cuba menghubungi Anwar bagi menarik bekas timbalan perdana menteri itu dalam kerajaannya, namun telah ditolak Anwar pada Ogos 2013.

“Sudah tentu, Anwar terpaksa menerima akibat daripada keengganannya itu. Setiap kali saya memikirkan tentang pemenjaraan Anwar, saya berasa begitu simpati terhadapnya dan pengorbanan yang dilakukannya bagi memastikan pakatan pembangkang kekal teguh terutama pasca PRU 2013. Ia bukan sesuatu yang mudah,” jelas Ahli Parlimen Kluang itu.

Chin Tong berkata, strategi tiga sisi Najib mula kelihatan di pertengahan 2014. Pertama, menyingkirkan Anwar sebagai faktor yang menyatukan pembangkang; kedua, mengumpan PAS bekerjasama dengan BN; ketiga, menggambarkan pembangkang sebagai didalangi DAP bagi menakutkan pengundi Melayu yang menyokong pembangkang.

“Dengan menyingkirkan Anwar dan mengumpan PAS, Najib cuba memberitahu kepada pengundi Melayu yang membuat pertukaran undi agar perlu kekal menyokongnya tidak kira betapa rasuah pentadbirannya. Beliau cuba menang tanpa bertanding,” jelasnya.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara selepas rayuannya ditolak Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 sekali gus telah menyebabkan tiada watak yang menyatukan pembangkang.

Pada Mac 2014, UMNO mula menyogok isu hudud/RUU355 bagi menarik penyokong akar umbi PAS dalam tempoh yang sama ketika Presiden PAS, Abdul Hadi Awang tidak begitu setuju dengan Langkah Kajang PKR yang bertujuan mengetengahkan semula Anwar sebagai pemimpin utama.

Idea kerjasama UMNO-PAS katanya muncul ketika Najib melawat Hadi di hospital pada penghujung Jun 2014.

Presiden PAS itu jelas beliau memainkan peranan dalam mengeruhkan krisis Menteri Besar Selangor pada Ogos dan September 2014.

Hadi mengambil sikap memusuhi DAP dari awal 2015 bagi menjustifikasikan peralihan sokongan kepada UMNO.

“Pada 5 Oktober 2014, ketika saya berdebat dengan Pengerusi MCA Kluang Gan Peng Sieu di ibu pejabat akhbar Sinchew, saya menjangkakan MCA akan menjadi rakan sekutu de facto PAS apabila tiba masanya.

“Hari ini, MCA bukan saja rakan sekutu de facto PAS, presiden MCA kini malah mengulangi pembohongan Hadi Awang bahawa Lim Kit Siang bercita-cita menjadi perdana menteri dan akan menjejaskan negara,” kata Chin Tong.

Strategi kotor Najib ini bagaimana pun ujarnya dapat dihidu oleh rakyat.

“Meski menempuh pelbagai cabaran, Pakatan Harapan berjaya ditubuhkan dan memberi semangat baru untuk perubahan kerana pemimpin-pemimpin di dalam PAS yang enggan menyertai politik taksub parti itu telah keluar parti dan menubuhkan Parti Amanah Negara, sementara pemimpin dalam UMNO yang enggan terlibat dengan kleprokrasi Najib membuat keputusan untuk keluar dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang seterusnya memberi pilihan kepada rakyat Malaysia.

“Bagi Liow dan MCA, permainan politik mereka yang sebelumnya sudah sedia teruk kini bertambah parah. Tidak lama lagi mereka akan cuma tinggal sebagai nota kaki dalam sejarah,” katanya lagi. – Roketkini.com