Berita

Hujah harus dibalas hujah, DAPSY gesa polis henti siasat pensyarah

*Kredit foto: The Star

Sosialis Muda DAP (DAPSY) hari ini membidas tindakan polis menyiasat ahli akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berhubung rencana tulisannya tentang Islam dan Perlembagaan yang disiarkan di sebuah akhbar arus perdana pada bulan lalu.

Menyifatkan ia sebagai mencabuli semangat kebebasan akademik, Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY, Leong Yu Sheng justeru menggesa polis agar dengan segera menghentikan siasatan terhadap Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM) itu.

“Rencana Dr Shad adalah bertujuan untuk melahirkan ruang diskusi supaya pelbagai pihak dapat memberikan pendapat masing-masing berkenaan isu tersebut,” ujar Yu Sheng dalam kenyataan hari ini.

“Maka pihak polis tidak sepatutnya membazirkan masa dan tenaga untuk menyiasat seorang profesor yang terserlah dalam bidang intelektual undang-undang hanya disebabkan laporan polis sesetengah pihak yang tidak mampu untuk menyangkal pendapat secara matang.”

Dr Shad seperti dilaporkan The Malaysian Insight (TMI) hari ini mengesahkan bahawa beliau sedang disiasat polis di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Ia susulan laporan polis yang dibuat Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) berkaitan rencana tulisnya bertajuk “Religious radicalism on the rise” yang disiarkan akhbar The Star pada 23 November lepas.

“Polis sudah merekodkan keterangan saya kira-kira sepuluh hari lalu. Saya akan biarkan polis siasat.

“Niat saya pada dasarnya adalah untuk menunjukkan yang Perlembagaan kita bercampur, hibrid dan jamak. Islam mempunyai kedudukan yang tinggi tetapi ia masih di bawah undang-undang, ia masih bukan undang-undang tertinggi negara.

“(Dan) saya sentiasa percaya penulisan yang ditulis secara bersederhana tetapi itu (buat laporan polis) hak mereka, saya fikir perkara paling baik untuk dibuat jika saya tulis sesuatu tapi awak tak suka, awak patut tulis jawapan balas. Untuk wujudkan wadah intelektual,” katanya seperti dipetik TMI.

Mengulas lanjut, menurut Yu Sheng ia bukanlah kali pertama pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyekat suara warga univerisiti.

“Di bawah pentadbiran Najib, bukan sahaja suara pelajar semakin tersekat, malah pensyarah kampus yang hanya mengeluarkan kenyataan ilmiah turut ditindas seperti mana Dr Azmi Sharom yang telah dituduh di bawah Akta Hasutan pada tahun 2014 lantaran artikelnya yang membincangkan krisis Perlembagaan Perak.

“Tidak dilupakan juga emel rasmi yang dikeluarkan oleh Unit Integriti, Pejabat Naib Canselor Universiti Malaya pada bulan November lalu yang melarang warga varsiti tertua ini daripada membuat sebarang pernyataan awam tanpa kebenaran pihak universiti,” katanya.

Tindakan berkenaan, katanya, membuktikan bahawa pentadbiran Najib semakin gelisah terhadap kemaraan golongan cerdik pandai sehingga sanggup menggunakan taktik kotor yang membelakangi semangat Perlembagaan Persekutuan dengan menyekat hak bersuara mereka. – Roketkini.com