Berita

Janji palsu BN remukkan hati keluarga penoreh getah

Sebuah keluarga dhaif lima beranak di Kampung Simpang Empat, daerah Sook terkilan dan kecewa apabila wakil rakyat kawasan itu sekadar menabur janji kosong untuk memberi bantuan membina kediaman baru mereka.

Menurut Evelyna Kelawit, 32, bantuan tersebut pernah dijanjikan Adun Sook, Datuk Ellron Angin pada tahun 2013 ekoran tragedi kebakaran rumah yang menimpa keluarga itu.

Sejak peristiwa malang itu, mereka sekeluarga terpaksa menumpang di sebuah balai raya usang buat sementara waktu sebagai tempat berteduh.

Evelyna berkata, keluarganya tidak mampu membina rumah baru memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan cukup sekadar menampung perbelanjaan makan.

Keadaan balai raya yang menjadi tempat berteduh keluarga Evelyna.

Pada tahun 2015, kampung tersebut pernah dilanda ribut yang menyebabkan kerosakan di beberapa rumah termasuk sebuah dewan serbaguna berhampiran balai raya tempat mereka berteduh.

Rentetan kejadian itu, kerajaan telah menyediakan peruntukan bagi kerja membaik pulih bumbung dewan serbaguna tersebut namun bantuan yang pernah dijanjikan sebelum ini masih belum diterima.

“Suami saya pernah mohon sekali lagi bantuan rumah semasa Datuk Ellron turun melawat kawasan dan kami dijanjikan akan dibantu dalam masa terdekat tapi sampai sekarang tiada bantuan rumah yang diterima.

“Saya dan suami juga pernah memohon bantuan PPRT namun belum mendapat maklum balas sehingga kini, dan apa yang paling menyedihkan kami sekeluarga ialah apabila kami bertanya kepada Majlis Daerah Sook berkenaan bantuan yang dijanjikan Ellron, namun jawapan yang diberikan sangat menghampakan”, katanya.

Buntu dengan nasib yang menimpa, Evelyna berharap supaya ada mana-mana pihak sudi menghulurkan simpati membantu masalah yang telah lama menyelubungi keluarganya.

Kedhaifan keluarga penoreh ini mendapat perhatian Setiausaha Wanita Harapan Sabah, Clare Taunek Simbat yang turun padang meluangkan masa mendengar keluhan dan aduan.

“Saya  turut merasa sedih kerana masih ada rakyat yang terpinggir dan tidak mendapat pembelaan dari wakil rakyat di kawasan Sook ini,” kata Clare.

Sementara itu, Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang berkata, sebagai wakil rakyat, Adun Sook perlu sedar dan bertanggungjawab kerana telah diberi mandat untuk menjalankan amanahnya dan perlu mencari jalan membantu mereka yang dalam kesusahan.

“Jangan salahkan pihak lain yang datang dengan rela dan ikhlas hati membantu masyarakat yang hidup dalam keadaan daif”, kata Adrian. – Roketkini.com