Berita

Sampai bila kerajaan nak jaga periuk nasi pemaju hartanah mewah?

Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) perlu terlebih dahulu menyelesaikan masalah kekurangan rumah mampu milik di ibu kota sebelum meneliti permohonan lebih banyak projek hartanah mewah.

Adun Bukit Gasing, Rajib Rishyakaran berkata demikian mengulas penubuhan jawatankuasa yang terdiri daripada lima menteri bagi meneliti rayuan pemaju perumahan untuk membina projek hartanah mewah bernilai RM1 juta dan ke atas di lokasi tertentu di ibu kota.

Jawatankuasa berkenaan dianggotai Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut Rajiv, pelbagai persoalan yang menyentuh mengenai kuantiti dan kualiti rumah mampu milik boleh dijawab menteri berkenaan mengikut bidang kuasa di kementerian masing-masing.

“Adalah lebih baik jawatankuasa berkenaan menggunakan masa mereka untuk menyelesaikan dan mempromosikan inisiatif yang mampu membawa kepada dasar perumahan yang lebih baik untuk kelas menengah dan kumpulan berpendapatan rendah,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, antara dasar yang boleh dibincangkan dan diusahakan jawatakuasa itu adalah seperti berikut:

  1. Mempromosikan sistem sewa beli
  2. Meningkatkan akses untuk membiayai pemilik rumah pertama kali
  3. Mewujudkan insentif kewangan bagi pemaju untuk membina pangsapuri di bawah harga RM250,000 di kawasan bandar
  4. Mengehadkan setiap orang atau pasangan suami isteri untuk hanya memiliki satu rumah mampu milik
  5. Membantu keluarga yang menghadapi masalah kewangan dan tidak mampu mendapatkan pinjaman perumahan buat sementara waktu
  6. Memastikan asrama pekerja asing mencukupi, dengan itu mengurangkan kesesakan atau persaingan sewa perumahan kos rendah dan sederhana.
  7. Memastikan semua skim rumah mampu milik, PPR, kos rendah dan pangsapuri kos sederhana dijaga dan diselenggara dengan baik, untuk memastikan keselesaan rakyat Malaysia yang mendiaminya.

“Sudah tiba masanya, kabinet dan terutamanya lima menteri ini memberi tumpuan dalam meningkatkan dasar perumahan untuk semua, dan bukannya mementingkan keuntungan sesetengah kumpulan pemaju mewah semata-mata,” tegasnya Rajiv. – Roketkini.com