Berita

Betul kata Daim, projek ECRL sebenarnya hutang bukan pelaburan

Pelbagai persoalan timbul berhubung projek mega Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang dianugerahkan kerajaan UMNO kepada sebuah syarikat China.

Baru-baru ini, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mempersoalkan sama ada projek kontroversi bernilai RM55 bilion itu sebenarnya hutang ataupun pelaburan.

“Kalau betul dia bawa duit, ok lah, berapa banyak pelaburan dia bawa masuk? Keretapi dia bawa duit?

“Kalau ‘loan’ makna kata dia bayar balik? Kalau bayar duit itu makna pelaburan? kalau kamu pelabur kamu kata apa? Tidak, itu pinjaman,” katanya menurut laporan media, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, persoalan yang dibangkitkan Daim itu adalah untuk memperbetulkan persepsi orang ramai bahawa ECRL itu sebenarnya projek hutang, dan tidak membawa keuntungan seperti yang digembar-gemburkan kerajaan.

Katanya, kerajaan bermati-matian bertegas bahawa projek itu kononnya sebuah “pelaburan domestik dengan pembiayaan asing”.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kabinetnya sering menjaja projek berkenaan sebagai kejayaan kerajaan UMNO meraih pelaburan asing yang besar.

Tony dalam kenyataan hari ini turut mempersoalkan mengapa projek sebesar itu tidak diberikan secara tender terbuka.

“Oleh itu, timbul persoalan, siapa yang benar-benar mendapat keuntungan dari kontrak ini?” soalnya.

Syarikat milik China, China Communications Construction Company (CCCC) dianugerahkan projek berkenaan dan dibiayai Export-Import Bank of China (EXIM) yang juga dimiliki tanah besar itu pada tahun lalu.

Projek yang memakan kos RM91.7 juta per km itu dianggap pengkritik dan pihak pembangkan sebagai mahal dan tidak berpatutan.

Dalam pada itu, Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata kerajaan sehingga kini masih tidak menjawab mengapa kontrak pembinaan ECRL diberikan secara terus kepada CCCC dengan nilai RM55 bilion jika projek berkenaan sebenarnya berharga RM30 juta.

“Di manakah lebihan RM25 bilion pergi? Adakah ia akan digunakan untuk membayar sebahagian hutang 1MDB sebagai spekulasi untuk menutup skandal kewangan antarabangsa terbesar pentadbiran Najib?” soalnya. – Roketkini.com