Berita

Peruntukan projek baiki rumah di Pensiangan diseleweng?

Pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah mula tidak senang duduk dengan usaha berterusan DAP yang giat menjalankan khidmat membantu mereka yang memerlukan.

Kegusaran BN itu jelas dapat dilihat apabila Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup mula ‘menyerang’ DAP dengan melabelkan parti itu sebagai ‘raja putar belit’.

Kenyataan itu dibuat setelah DAP Pensiangan membangkitkan persoalan mengenai hasil projek membaiki rumah penduduk di Daerah Sook yang didakwa tidak memuaskan dan ala-kadar berbanding kos RM10,000.

Menyanggah dakwaan itu, Pengerusi DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang berkata tohmahan Presiden PBRS-BN itu sebagai ‘alasan kebudak-budakan’.

Menurutnya, sebagai pemimpin yang telah beberapa penggal  diberi mandat dari rakyat, Kurup sepatutnya mampu menangani masalah bekalan bahan binaan dan urus tadbir yang lebih baik.

Bahagian belakang salah sebuah rumah yang tidak dibaiki walaupun peruntukan berjumlah RM10,000.

“Baru-baru ini, pasukan saya telah membuat tinjauan dan melihat sendiri keadaan rumah tersebut setelah menerima aduan dari pemilik rumah yang terbabit.

“Hasil tinjauan itu, jelas projek tersebut tidak setara dengan nilai atau peruntukkan yang diberikan kerajaan,” katanya kepada Roketkini.

Jelas Pengarah Biro Pendidikan DAP Sabah itu, isu seumpama itu bukanlah kali pertama dibangkitkan.

“Malah sebelum ini, DAP Pensiangan telah membangkitkan dua buah projek seumpamanya didalam page rasmi mereka,” kata beliau.

Apa yang menimbulkan persoalan katanya ialah melibatkan Prosedur Operasi Piawai (SOP) dalam proses mereka bentuk dan pembinaan.

Dalam dakwaannya sebelum ini, Kurup dilaporkan memberi pelbagai alasan kononnya pihak kontraktor mengalami kesukaran untuk mendapatkan dan menghantar bekalan bahan binaan akibat cuaca tidak menentu sehingga menyebabkan berlakunya kelewatan.

“Saya mahu tanya apa SOP dalam proses mereka bentuk dan pembinaan projek ini? Adakah juruukur bahan bertauliah yang bertanggungjawab dan bagaimana harga RM10,000 pembaikan sesebuah rumah itu ditentukan?” soalnya.

Projek ali baba?

Projek Bantuan Rumah 2016, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah itu dilaksanakan oleh syarikat Felcra Bina Sdn Bhd.

Dapatan dari carian maklumat mengenai syarikat berkenaan lebih mengejutkan apabila syarikat tersebut berpengkalan di Kuala Lumpur yang mempunyai cawangannya di Kota Kinabalu.

Maklumat ini kata Adrian seolah-olah tidak memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan.

“Adakah ini projek ali baba? Adakah kerja ini memerlukan syarikat besar untuk sapu semua?” soalnya lagi.

Tegas Adrian, pihaknya tidak sama sekali akan mengkritik kerajaan atau peribadi secara melulu tanpa sebarang bukti dan menganggap tohmahan buruk wakil rakyat BN itu sebagai satu petanda positif dari usaha DAP menyuarakan masalah rakyat.

Dalam laporan Roketkini sebelum ini, penerima bantuan, Peter Kandui, 54, dari kampung Simpang Batu 4, berkata kerja membaiki rumah yang dilaksanakan pihak kontraktor tidak seperti yang digambarkan.

Jumlah kos pembaikan rumah itu dedahnya kurang dari nilai RM10,000 malah hasil kerja juga tidak memuaskan hati, ‘cincai dan ala-kadar’.

Usah bohongi rakyat

Adrian berkata, PBRS mungkin boleh mempergunakan media sosial untuk mengaburi mata rakyat namun rakyat semakin bijak dan terdedah dengan maklumat dihujung jari.

“Selain dari menerima maklumat melalui media sosial, mereka juga mendengar dan melihat sendiri keadaan sekeliling dan membuat perbandingan sendiri,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya Presiden PBRS  itu untuk mengambil tindakan bijak dan jujur dalam menangani isu rakyat.

“Daripada sibuk ‘melabel’ DAP, lebih baik Joseph Kurup menyelesaikan isu rakyat dan janji-janji pilihanraya yang masih belum ditunaikan semenjak PRU yang lalu.

“Saya pasti beliau terpaksa bekerja keras dua kali ganda memandangkan terlalu banyak isu yang timbul. Apalagi ada banyak isu dalaman Parti itu sendiri yang melibatkan kepimpinan tertinggi parti,” katanya lagi. – Roketkini.com